Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontroversi URA: Jangan jadi 'munafik', kata Adun Pahang
Diterbitkan:  Feb 20, 2025 9:07 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Seorang Adun Pahang menempelak PN yang didakwanya sengaja memainkan isu perkauman dalam cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Bandar (URA) di parlimen.

Kata Mohd Fadzli Mohd Ramly rancangan mengenainya sudah dibincangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seawal 2021 dan diulas beberapa pemimpin ketika itu.

Menurutnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Zuraida Kamaruddin, mengakui ada keperluan meminda dua akta di bawah portfolionya iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Langkah itu, kata Mohd Fadzli, adalah bagi memperkasa peranan serta bidang penguatkuasaan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) agar perancangan di peringkat persekutuan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Memetik kata Zuraida, Mohd Fadzlil berkata, rancangan berkenaan juga adalah untuk memastikan pembangunan negara lebih mampan dan tidak menjejaskan perancangan jangka panjang.

“Selepas itu, cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar diutarakan oleh Menteri KPKT zaman kerajaan PN seterusnya di bawah pimpin Ismail Sabri Yaakob iaitu Reezal Merican Naina Merican.

“Tetapi apabila KPKT sekarang mencadangkan penggubalan URA, tiba-tiba muncul dakwaan kononnya nak halau orang miskinlah, Malaysian Malaysialah.

“Mengapa semasa PN berkuasa dan pemimpin mereka menjadi menteri, cadangan yang sama diutarakan tetapi tiada pula timbul isu sebegitu?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penggubalan URA adalah cadangan yang belum dibentangkan di parlimen namun mendapat kritikan keras pembangkang khususnya PAS dengan mendakwa ia adalah perancangan tersusun untuk meminggirkan golongan miskin bandar khususnya Melayu dan India.

Bagaimanapun menterinya, Nga Kor Ming, semalam menjelaskan penggubalan URA itu tidak menjadikan mana-mana pihak terpinggir atau tersingkir, sebaliknya memberi nilai tambah kepada hartanah yang terlibat.

Mohd Fadzli yang juga Pengerusi Amanah Pahang menjelaskan rancangan menggubal URA itu disediakan dan digarap oleh kakitangan awam yang sama.

“Justeru kepada pemimpin tertentu itu, jangan jadi munafik.

“Kepada ahli dan penyokong mereka, jangan mudah sangat ditipu.

“Allah bagi akal, ilmu dan agama untuk pastikan bahawa Islam ini tertegak dengan hujah dan dalil, bukan dengan sampah sarap,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS