Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papan tanda 3 bahasa: Pemuda DAP minta Ahmad Fadhli jangan dwistandard
Diterbitkan:  Feb 21, 2025 11:32 AM
Dikemaskini: 5:05 AM

Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong meminta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari tidak bersikap dwistandard berhubung isu papan tanda di pasar basah Ayer Tawar.

Ini selepas Ahmad Fadhli menimbulkan isu mengenai papan tanda di pasar berkenaan yang mengandungi bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Merujuk Pasar Basah Teluk Intan sebagai contoh, pemimpin DAP itu berkata dia mencadangkan papan tanda di pasar berkenaan mengandungi tiga bahasa ketika menjadi ketua whip bagi Majlis Perbandaran Teluk Intan pada tahun 2019

"Pasar Besar Teluk Intan telah mempunyai papan tanda tiga bahasa sejak tahun 2019 dan tidak pernah ada isu biarpun pasar tersebut selalu dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat, dan pasar tersebut antara yang paling sibuk menjelang seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Nasihat saya, berpolitik biarlah dengan cara betul dan murni, jangan disebabkan nak raih populariti dan dapatkan publisiti murahan dan natijahnya gadaikan kekuatan kemajmukan negara.

"Jangan lupa bahawa anda pernah sama-sama setuju dengan prinsip kepelbagaian waktu bersama dalam Pakatan Rakyat, stop being double standard," katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menyindir Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung papan tanda dalam tiga bahasa di pasar basah Ayer Tawar.

Dia juga mempersoalkan apakah akan menjadi polisi bagi kementerian tu meletakkan papan tanda tiga bahasa pada bangunan kerajaan.

“Tahniah KPKT atas kejayaan pembinaan pasar awam di Ayer Tawar.

“Cuma nak tanya satu soalan, adakah satu keperluan mendesak diletakkan tiga bahasa di dinding pasar itu?

“Adakah selepas ini menjadi polisi KPKT meletakkan tiga bahasa di binaan rasmi kerajaan? Mohon jawapan” katanya menerusi Facebook.

‘Bahasa Cina di Dataran Cheng Ho di Kelantan’

Mengulas lanjut, Woo berkata papan tanda tiga bahasa itu tidak menafikan hakikat bahawa Bahasa Malaysia kekal sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kesemua parti politik di negara ini turut menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak pernah mempertikaikannya.

"Kami tidak akan mempertikaikan tindakan pihak yang meletakkan bahasa Cina di Dataran Cheng Ho, Kelantan atau mempersoalkan sama ada itu adalah polisi kerajaan atau tidak.

"Ia lantaran kesemua kami adalah insan yang mempunyai akal budi (common sense) dan memahami negara Malaysia adalah negara majmuk dan perlunya sama-sama meraikan kepelbagaian.

"Adalah sangat berniat jahat untuk ahli politik untuk memainkan isu sedemikian dan mencuba sedaya upaya untuk memesongkan bahawa kementerian yang ditunjangi kerajaan perpaduan adalah mengetepikan bahasa kebangsaan padahal ini adalah tidak benar sekali,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS