“Cakap tak serupa bikin” – inilah pandangan terus terang Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman, mengenai gesaan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor agar penjawat awam mengelak rasuah dan salah guna kuasa.
Dia berasa lucu bahawa Hajiji dengan yakin menyatakan bahawa “trend sekarang CCTV ada di mana-mana, rakyat sendiri yang menjadi CCTV.”
“Saya harus memuji keberanian Hajiji kerana berani memberi nasihat tentang integriti kepada penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Bagaimanapun, Azis menyatakan bahawa rakyat Sabah tidak melupakan kenyataan Hajiji sebelum ini, di mana beliau mencadangkan bahawa dana yang dibincangkan dalam video yang membabitkan Adun Sabah boleh menjadi derma politik.
Azis menambah bahawa kenyataan ketua menteri - "jika wakil rakyat hanya bergantung pada gaji mereka, mereka tidak akan cukup makan pun" - telah menjadi bahan cemuhan.
Merujuk kepada ucapan Hajiji pada Majlis Amanat Tahun Baru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam, Azis bertanya, adakah ketua menteri terbabit sedar bahawa kepercayaan rakyat bukan dibina semata-mata melalui ucapan sebaliknya melalui tindakan konkrit?
“Ketelusan bukan sekadar slogan yang disebut dalam majlis rasmi, tetapi harus dibuktikan dengan keberanian untuk bersikap terbuka terhadap sebarang siasatan dan dakwaan,” tambahnya.

Azis berkata jika Hajiji benar-benar serius memerangi rasuah, rakyat ingin tahu apakah perkembangan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) Jontih Enggihon terhadap kepada SPRM pada 20 Nov tahun lalu.
“Adakah Hajiji telah dipanggil untuk memberikan kenyataan? Apakah status kertas siasatan? Adakah mereka telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya?” tanyanya.
Azis juga berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said menyatakan di Parlimen bahawa SPRM telah membuka dua kertas siasatan yang kini dalam semakan oleh timbalan pendakwa raya.
Rakyat tunggu jawapan
Dia bertanya adakah salah satu daripada kertas siasatan ini berkaitan dengan aduan terhadap Hajiji juga.
“Lebih membingungkan, sementara rakyat menuntut ketelusan, Hajiji kelihatan terlalu defensif dalam melindungi mereka yang terjerat dalam skandal.
“Malah, beliau berdiam diri apabila ada video YB tertentu yang bukan sahaja tular di Sabah malah menjadi sensasi antarabangsa.
“Jika ketua menteri benar-benar serius dalam membanteras rasuah, beliau seharusnya memimpin dengan teladan, bukan sekadar memberi ceramah moral kepada penjawat awam sambil melindungi mereka yang berkepentingan politik.
“Rakyat Sabah sedang menunggu jawapan,” tambahnya.
Hajiji, dalam ucapannya semalam, mengingatkan penjawat awam tentang tanggungjawab mereka untuk melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, bukan hanya untuk kesejahteraan diri dan keluarga, tetapi juga untuk kejayaan organisasi, negeri dan rakyat Sabah.
“Selaku penjawat awam, khususnya yang berjawatan tinggi, anda juga sebenarnya sama seperti ahli politik yang sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian.
“Lebih-lebih lagi, trend sekarang ‘CCTV’ ada di mana-mana, dan kadangkala, rakyat itu sendiri yang menjadi ‘CCTV’.
“Jadi, kenalah berhati-hati dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Kita ini berada dalam satu era yang dikuasai oleh kemajuan teknologi rakaman.
“Setiap langkah dan tutur kata kita mungkin didengar atau dirakam tanpa kita sedari. Era yang saya sebut sebagai era pencerohan privasi yang semakin berleluasa,” katanya.
Ketua menteri itu, yang juga pengerusi SMM, didakwa menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian lesen cari gali mineral.
Sementara itu, SMM mendakwa bekas CEO-nya bersekongkol dengan pihak luar untuk melakukan penipuan.
Mengenai video yang dikeluarkan oleh pemberi maklumat yang mendakwa telah merasuah Adun untuk mendapatkan lesen cari gali mineral, Hajiji mendakwa ia cubaan untuk menjejaskan pentadbirannya, menuduh pemberi maklumat itu bekerjasama dengan individu yang mempunyai kepentingan peribadi.
Pemberi maklumat itu juga telah dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang bertujuan untuk memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah.
