Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EAIC amat kecewa hukuman pada pegawai, kru kapal APMM 'terlalu ringan'
Diterbitkan:  Feb 21, 2025 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) melahirkan rasa kecewa selepas kru sebuah kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilepaskan dengan hukuman yang disifatkan sebagai "terlalu ringan".

Kata EAIC, mereka menerima maklum balas daripada APMM mengenai tindakan yang diambil berdasarkan syor yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

Bagaimanapun, kata EAIC, syor hukuman yang diberi tidak diikut oleh APMM, sebaliknya mereka memutuskan bahawa pegawai memerintah kapal terbabit dikenakan hukuman denda tujuh hari emolumen, manakala pegawai dan anggota lain didapati tidak bersalah.

Hal itu, kata EAIC, adalah kerana anak kapal terbabit hanya bertindak mengikut arahan pegawai memerintah saja.

“EAIC amat kecewa dengan keputusan pihak berkuasa tatatertib APMM kerana hukuman yang dikenakan adalah terlampau ringan berbanding salah laku pegawai memerintah, pegawai dan anggota kapal APMM tersebut yang tidak mencerminkan integriti semasa melaksanakan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan dijalankan selepas EAIC menerima aduan terkait tularnya sebuah video memaparkan kapal APMM bertambat dengan bot nelayan Zon C yang dikendalikan awak-awak Vietnam di perairan Kelantan pada 7 Julai 2023.

Siasatan itu, kata EAIC, mendapati kesalahan yang berlaku ialah:

* Kapal APMM bertambat dengan bot nelayan tanpa kebenaran dari kira-kira jam jam 8 malam hingga 3.40 pagi,

* Kapal APMM terbabit menghantar laporan kedudukan, haluan dan laju serta laporan situasi mengandungi maklumat tidak benar kepada Pusat Pemerintah Operasi Maritim,

* Borang penggeledahan yang dikeluarkan kapal APMM mengandungi butiran palsu berkaitan pemeriksaan yang dilakukan terhadap bot nelayan Zon C,

* Tiada laporan dibuat mengenai insiden melepaskan tembakan semasa pengejaran bot nelayan asing Vietnam pada 12 Julai 2023, dan

* Pegawai dan anggota kapal APMM didapati telah bertambat sebanyak dua kali dengan bot nelayan Zon C serta terlibat dalam aktiviti mencandat sotong dan meemancing ikan, yang menimbulkan persepsi negatif serta mencemarkan imej pasukan terbabit.

Berdasarkan dapatan tersebut, kata EAIC, mereka mengesyorkan agar hukuman turun pangkat atau buang kerja ke atas pegawai memerintah selaras dengan Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (atau 3 PU (A) 395/1993).

EAIC juga, kata kenyataan berkenaan, mengesyorkan agar pegawai dan anggota kapal APMM terbabit dikenakan tindakan disiplin selain turun pangkat atau buang kerja mengikut Peraturan 36 PU (A) 395/1993.

Pegawai penyiasat EAIC juga, katanya, membuat laporan polis berhubung pengeluaran borang penggeledahan yang mengandungi butiran palsu dan hasilnya pihak berkuasa membuka satu kertas siasatan bagi meneliti aspek jenayah komersial.

Selain itu, EAIC berkata, kapal terbabit gagal melaporkan insiden tembakan ketika mengejar bot nelayan Vietnam beberapa hari kemudian (12 Julai 2023).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS