Seorang aktivis pelajar yang menyelaras perhimpunan Gempur Rasuah Sabah pada malam tahun baru tahun lalu telah diarah hadir ke mahkamah pada April bagi menjawab beberapa pertuduhan jenayah.
Menurut Muhamad Fadhil Muhamad Kasim, notis yang disampaikan polis semalam menyatakan dia akan dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Peruntukan di bawah PAA menetapkan hukuman bagi kesalahan berkaitan pemberitahuan perhimpunan, manakala Seksyen 509 Kanun Keseksaan ialah seksyen yang menghukum penggunaan perkataan atau isyarat untuk menghina kehormatan seseorang.
Malaysiakini dimaklumkan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 509 adalah berkaitan ucapan Fadhil di mana dia didakwa menghina Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman.
Dalam kenyataan di Facebook, aktivis itu berkata bahawa notis itu disampaikan kepadanya di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu apabila dia dan beberapa yang lain dipanggil untuk disoal lanjut berhubung perhimpunan berkenaan.
Dalam catatan media sosialnya, Fadhil turut melahirkan rasa kecewanya dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) meneruskan pendakwaan walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim komited untuk meminda PAA dan menghentikan semua siasatan terhadap penganjur protes.
"Selepas pengumuman perdana menteri, polis keesokannya merujuk semula ‘arahan tuduh’, namun Peguam Negara pada 17 Feb 2025 beritahu polis pertuduhan terhadap saya tetap perlu diteruskan," katanya.
Fadhil menuduh kerajaan persekutuan sebagai "munafik".
Berkongsi sentimen sama, kumpulan anak muda Mandiri mempersoalkan sama ada Anwar seorang penipu atau terlalu lemah sebagai pemimpin untuk pihak berkuasa tidak mengendahkan arahannya.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu mengecam keputusan mendakwa Fadhil di mahkamah dan menggesa kerajaan menghentikan pendakwaan terhadapnya.
“Pada 13 Feb, Anwar Ibrahim sendiri mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa semua siasatan terhadap perhimpunan anti rasuah yang dianjurkan oleh pelajar akan dihentikan dan tiada tindakan akan diambil.
"Pada 13 Februari 2025, Anwar sendiri telah mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa siasatan terhadap perhimpunan antirasuah yang melibatkan mahasiswa akan dihentikan dan tiada tindakan akan diambil.
"Dia turut menyatakan bahawa moratorium bagi Akta Perhimpunan Aman akan berkuat kuasa serta-merta.
"Namun, akhirnya seorang mahasiswa tetap juga akan didakwa, kerana dikatakan terlibat dengan himpunan bagi melawan rasuah, apatah lagi dibawah Seksyen 9(5) APA berkaitan notis. Tambah menjelekkan adalah, notis juga telah diserahkan.
"Bagaimana mungkin mahasiswa yang memperjuangkan ketelusan dan menentang rasuah didakwa di mahkamah, sedangkan para perasuah masih bebas berkeliaran? Adakah ini petanda bahawa rasuah telah dinormalisasikan dalam sistem pentadbiran negara? Adakah ini bukti bahawa kerajaan pimpinan Anwar lebih cenderung melindungi perasuah berbanding memperjuangkan keadilan?" soal mereka.
Untuk rekod, Anwar minggu lepas mengumumkan moratorium Seksyen 11 APA yang membabitkan keperluan penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran daripada pemilik dan penghuni lokasi himpunan.
Menurut perdana menteri, semua siasatan yang sedang dijalankan di bawah Seksyen 11 akta itu akan dihentikan, termasuk penganjur dua perhimpunan baru-baru ini - himpunan antirasuah yang diterajui pelajar di Kuala Lumpur bulan lepas dan protes di luar penjara Sungai Buloh baru-baru ini.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa penganjur perhimpunan masih perlu mengemukakan pemberitahuan kepada polis mengikut APA.
