Kerajaan Sabah tidak perlu memohon peluang kedua kepada rakyat untuk melaksanakan program pembangunan jika inisiatif mereka berjaya di peringkat awal, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.
Ini berlaku selepas Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menggesa pengundi negeri memberi peluang sekali lagi untuk pentadbirannya melaksanakan inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Jika pelan SMJ yang dicanangkan sebelum ini berjalan lancar dan memberikan hasil yang memuaskan, mengapa ada keperluan untuk Hajiji merayu kepada rakyat untuk memberikan peluang kedua? Kenapa meminta simpati jika prestasi SMJ benar-benar cemerlang?
"Saya ingin menegaskan bahawa jika pelaksanaan SMJ berjaya dan kepimpinan berfungsi dengan baik tiada alasan mengapa Hajiji perlu merayu dan meminta simpati rakyat Sabah.
"Rakyat pasti akan terus memberi sokongan dengan ikhlas tanpa sebarang permohonan daripada pihak kerajaan. Manakala keputusan rakyat adalah berdasarkan prestasi, dan rakyat sudah pasti lebih menghargai hasil daripada janji kosong," kata Bung Moktar dalam satu kenyataan hari ini.
Dua hari lalu, Hajiji berkata dia berharap rakyat Sabah memberi peluang kepada pentadbirannya pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam membuat rayuan itu, dia mengakui banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaannya untuk membangun dan membawa kemakmuran kepada negeri Sabah.
Bung Moktar bagaimanapun berkata adalah lebih baik untuk Hajiji mengakui dan memperbaiki kelemahan SMJ.
Sabah akan mengadakan pilihan raya hujung tahun ini, selepas pilihan raya negeri terakhir diadakan pada 26 Sept 2020.
Kerajaan negeri Sabah pimpinan Hajiji diheret dalam skandal rasuah sejak akhir tahun lalu, dengan pemberi maklumat menerbitkan video yang membabitkan beberapa Adun dalam dakwaan rasuah, termasuk Hajiji.
Ketua menteri itu dan Adun yang terlibat telah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa ia adalah konspirasi untuk menggugat kestabilan pentadbiran negeri menjelang pilihan raya.
