Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL tak rancang buang tulisan Cina di papan tanda Jalan Petaling
Diterbitkan:  Feb 24, 2025 1:43 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bercadang membuang tulisan Cina di papan tanda Jalan Petaling, Kuala Lumpur.

DBKL mengeluarkan kenyataan itu susulan dakwaan mereka akan memadam tulisan Cina di papan tanda pusat tumpuan pelancong itu.

“Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) ingin memberi penjelasan mengenainya. 

“DBKL ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan ingin memaklumkan bahawa papan tanda yang dipasang di kawasan pusat penjaja Jalan Petaling, telah mematuhi garis panduan dan dasar yang ditetapkan.

“Sehingga kini, DBKL tidak mempunyai sebarang perancangan atau cadangan untuk mengubah atau mengeluarkan tulisan Cina daripada papan tanda berkenaan,” kata DBKL.

Maklum balas itu dikeluarkan kepada akhbar Cina Sin Chew Daily yang turut dikongsi dengan media-media lain.

Terdahulu hari ini, MCA membantah keras  “cadangan” yang memetik kenyataan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee bahawa perkara itu sedang dalam pertimbangan.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata isu papan tanda Jalan Petaling itu tidak harus menjadi isu selagi tulisan bahasa kebangsaan yang digunakan lebih besar.

Dalam bahasa Cina, Jalan Petaling dikenali sebagai Jalan Kilang Ubi Kayu sempena kilang ubi kayu yang ditubuhkan oleh Yap Ah Loy, antara tokoh pembuka Kuala Lumpur.

DBKL menjelaskan bahawa setiap keputusan berkaitan papan tanda dibuat dengan merujuk kepada Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982.

Yap Ah Loy

Ia juga, kata DBKL, mengambil kira aspek warisan, budaya, dan keperluan komuniti setempat. 

“Sebarang perubahan terhadap papan tanda akan melalui proses pertimbangan yang teliti,” kata DBKL.

DBKL justeru menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas dan merujuk kepada DBKL untuk mendapatkan maklumat yang sahih. 

“DBKL juga akan terus komited dalam memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar raya yang inklusif serta menghormati kepelbagaian budaya dan warisan semua kaum,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS