PARLIMEN l Seramai 311 kakitangan kerajaan telah dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana didapati terbabit dalam penyalahgunaan kuasa sehingga menyebabkan ketirisan dana awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata ia susulan daripada isu yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN)
Kata Kulasegaran, antara tindakan yang diambil termasuk diberikan amaran, denda, menangguhkan pergerakan gaji, turun pangkat dan dibuang kerja.
“Setakat 14 Januari lalu, JPA telah mengambil tindakan tatatertib terhadap 311 pegawai antara tindakan tatatertib yang telah diambil seperti amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.
“Manakala, terdapat dua orang penjawat awam yang telah dijatuh hukum oleh mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu apakah tindakan susulan terhadap penjawat awam yang dipercayai terbabit dalam penyelewengan dana awam seperti dibentangkan dalam laporan ketua audit negara.
Dia turut memberitahu, berdasarkan statistik dari 2012 hingga Januari 2025, sebanyak 12,393 isu berkaitan ketirisan dana awam dikemukakan melalui Laporan ketua audit negara dan daripada jumlah itu 11,594 telah diselesaikan manakala 799 lagi dalam tindakan susulan.
“Sehingga 24 Februari lalu, daripada rekod tersebut 32 isu disiasat oleh pihak polis, 138 isu disiasat oleh SPRM dan 116 isu melibatkan siasatan oleh Jawatankuasa khas siasat (JKS) dan Jawatankuasa Siasatan Dalaman (JKSD) yang diselaraskan oleh JPA,” katanya.
Terdahulu semasa menjawab soalan asal Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang meminta penjelasan bagaimana kerajaan dapat memastikan setiap peruntukan dana awam diumumkan dalam Belanjawan tidak diselewengkan, Kulasegaran berkata, kerajaan Madani memberi tumpuan dalam memastikan tatakelola pentadbiran awam ditambah baik dan dipertingkatkan melalui pelbagai reformasi institusi dan memperkenalkan inisiatif baharu.
Ini katanya, termasuk pindaan kepada Akta Audit 1957 (Akta 62), memperkenalkan Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara, iaitu platform pemantauan dalam talian oleh Jabatan Audit Negara.
Selain itu, dalam tempoh pentadbiran kerajaan madani, isu yang dibangkitkan dalam laporan ketua audit juga dibahaskan secara terbuka di Dewan Rakyat.
Kulasegaran juga menjelaskan meskipun tiada pengasingan kuasa dalam beberapa jawatan terpenting dalam negara, namun kerajaan komited peranan itu digalas dengan baik termasuk memberi kuasa yang bebas kepada ketua audit negara melakukan audit.
“Walaupun perdana menteri dan menteri kewangan tidak diasingkan, tidak bermakna fungsi yang dijalankan oleh jabatan itu ada kekurangannya, kita perlu faham kerajaan madani serius itu sebab pemindahan dibuat kepada ketua audit negara supaya beri kuasa lebih untuk buat siasatan dan sebagainya,” katanya,
Pada waktu ini, tiada pengasingan kuasa diamalkan bagi jawatan antara peguam negara dan pendakwa raya serta jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.
Dalam masa yang sama, Kulasegaran turut berkata pihaknya kini sedang giat menambah bilangan pegawai kerajaan bagi menampung kekurangan yang ada.
