Pemuda MCA menyorot kejadian maut melibatkan seorang orang kurang upaya (OKU) penglihatan di stesen LRT Titiwangsa untuk menegaskan bahawa fasiliti pengangkutan awam di negara ini tidak mesra OKU.
Timbalan Pemuda MCA Mike Chong berkata, situasi demikian tidak terhad di stesen rel pengangkutan awam tapi juga stesen bas.
"Langkah-langkah seperti penyelenggaraan berkadar bagi turapan sentuhan yang beralun (tactile paving) sudah tentu dapat memanfaatkan mereka yang OKU penglihatan, dan membolehkan mereka bergerak dengan lebih selamat dan lebih sedar akan kawasan-kawasan yang berbahaya.
"Pemasangan penghadang keselamatan (safety gate) di stesen-stesen yang terbuka juga wajar dibina. Memandangkan ini akan memakan masa yang lama, buat sementara ini, pihak Prasarana disaran menugaskan petugas-petugas keselamatan dan polis bantuan di kesemua stesen-stesen tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chong turut mencadangkan agar kehadiran pegawai keselamatan di stesen-stesen tersebut dibuat secara kekal, dan bukannya sementara.
"Sebelum ini, setiap kali adanya kemalangan maut, petugas keselamatan akan digerakkan, namun selepas beberapa bulan, pegawai-pegawai ini tidak lagi kelihatan di stesen-stesen LRT dan MRT, ataupun hanya hadir pada waktu puncak.
"Mungkin juga Prasarana mengalami kekurangan staf keselamatan, dan pihak Kementerian diharapkan dapat membantu. Mungkin Kementerian atau Prasarana boleh mengkaji pengambilan anggota-anggota RELA sebagai langkah sementara sehingga masalah ini boleh diatasi," katanya.
Dalam kejadian pada 22 Feb, seorang OKU penglihatan maut digilis LRT selepas dia
dipercayai terjatuh di kawasan rel kereta api sebelum dilanggar oleh sebuah kereta api yang melintasi kawasan tersebut.
Susulan kejadian tragis itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan semua pengendali stesen rel untuk meningkatkan dan menaik taraf aspek keselamatan terutamanya dalam menyediakan kemudahan kepada komuniti OKU.
Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) sebelum ini menyorot kekurangan petugas di stesen LRT bagi membantu para pengguna khususnya dalam kalangan OKU penglihatan.
Presidennya, Mohd Mustaza Mohd Zain berkata perhatian yang lebih diperlukan untuk memantau golongan OKU di sesebuah kemudahan awam.
Sementara itu, Chong berkata Pemuda MCA merakamkan ucapan takziah buat keluarga OKU penglihatan yang maut di kawasan landasan LRT Titiwangsa pada Sabtu lepas.
"Susulan kejadian malang ini, Pemuda MCA menyokong sepenuhnya usaha Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam menyeru semua operator stesen pengangkutan rel untuk mengkaji semula dan menambah baik aspek keselamatan di stesen masing-masing," katanya sambil mengulangi cadangan menambah petugas keselamatan di stesen-stesen pengangkutan awam.
