Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata Jabatan Peguam Negara telah memberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) kepada 18 VIP sepanjang 2017 dan 2024.
"Keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

"Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung," katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Azalina tidak menyatakan siapa VIP yang diberikan DNAA itu.
Bagaimanapun, dia menegaskan, DNAA itu adalah berdasarkan pekeliling ketua pendaftar pada 2012 yang membabitkan beberapa kategori kes berprofil tinggi yang disenaraikan.
Mereka antara lain termasuk, sultan, raja, tuan yang dipertua negeri dan kerabat dekat, menteri kabinet, ahli parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), Adun, pemimpin politik lain yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan atau parti politik, hakim dan pegawai kanan kerajaan.
Berdasarkan carta yang disediakan oleh Azalina, bilangan DNAA tertinggi diberikan adalah pada 2020 dan 2023, iaitu lima individu setiap tahun.

Perlu diinyatakan bahawa pada 2020, kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara ini sehingga Langkah Sheraton pada Februari yang menyaksikannya tumbang dan diambil-alih oleh Perikatan Nasional.
Bagi tahun 2023, negara dipimpin oleh kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Antara VIP berprofil tinggi yang diberikan DNNA termasuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Najib dan Irwan diberikan DNAA berhubung enam pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Mengulas mengenai usaha bagi memastikan ketelusan proses perundangan yang membabitkan kes DNAA, Azalina berkata, reformasi membabitkan pelbagai peringkat sistem kehakiman sama ada dari segi perundangan, komunikasi atau prosedur sudah dilaksanakan.
Dalam hal ini, katanya, kerajaan mewujudkan kerjasama strategik bersama universiti tempatan untuk menjalankan kajian perundangan sebelum membuat sebarang cadangan penambahbaikan.

Perlu juga diinyatakan bahawa di bawah undang-undang sedia ada, kuasa memberikan DNAA terletak sepenuhnya pada peguam negara, dan bukannya badan kehakiman.
