Seorang hakim di London memutuskan bahawa ahli individu kumpulan British The 1975 tidak boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi atas kerugian kewangan yang dialami oleh Festival Good Vibes Malaysia, yang dibatalkan selepas penyanyi utama Matty Healy mencium rakan lelaki kumpulannya di atas pentas.
Penganjur festival itu, Future Sound Asia (FSA), menuntut ganti rugi £1.9 juta (RM10.6 juta) berhubung kejadian yang berlaku semasa persembahan kumpulan itu pada Julai 2023 di Kuala Lumpur.

Healy secara terbuka mengkritik undang-undang anti-LGBTQ+ Malaysia sebelum bertindak mencium pemain bass Ross MacDonald.
FSA memfailkan tuntutan mahkamah terhadap The 1975 Productions LLP, dengan alasan band itu melanggar kontraknya dan mempunyai kewajipan menjaga penganjur acara.
Walau bagaimanapun, pasukan peguam kumpulan itu membantah atas alasan hanya entiti korporat - bukan pemuzik individu - boleh dipertanggungjawabkan.
Menurut AFP, hakim William Hansen menolak dakwaan terhadap Healy dan ahli kumpulan lain, dan menyebut pertuduhan tersebut adalah cacat dari segi undang-undang dan tidak layak untuk dibicarakan.
Dia bagaimanapun membenarkan kes terhadap entiti korporat kumpulan itu diteruskan. Selain itu, dia mengarahkan FSA membayar £100,000 (RM557,977) sebagai yuran guaman.

Peguam 1975, Edmund Cullen, menyifatkan tuntutan mahkamah itu sebagai "tidak sah, tiruan, dan tidak koheren," menekankan bahawa kontrak itu secara eksklusif dimeterai antara FSA dan entiti perniagaan kumpulan berkenaan.
Peguam FSA, Andrew Burns, mendedahkan bahawa pihak berkuasa Malaysia pada mulanya keberatan untuk meluluskan pesembahan The 1975 kerana kebimbangan terhadap latar Healy sebelum ini yang dalam ketagihan dan pemulihan dadah.
Kebenaran akhirnya diberikan selepas kumpulan itu memastikan pematuhan terhadap peraturan tempatan.
Burns juga menyatakan bahawa apabila The 1975 membuat persembahan di festival yang sama pada 2016, mereka bersetuju untuk mematuhi sekatan tempatan, termasuk larangan menghambur kata-kata kotor, merokok, minum, menanggalkan pakaian, dan membincangkan agama atau politik di atas pentas.
