Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, menyanggah pandangan Nazri Aziz mengenai calon perdana menteri ke-11 dan menganggapnya sebagai "amat cetek".
Kata Syahir negara ini tidak ketandusan tokoh yang boleh diangkat sebagai pemimpin dan ia tidak terhad kepada Anwar Ibrahim semata-mata.
Malah katanya Malaysia memiliki calon perdana menteri dalam kalangan teknokat dan diplomat berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin akan datang.
"Amat cetek pandangan yang menyatakan tiada siapa layak ganti Anwar.
"Malaysia punyai ramai tokoh politik, teknokrat, dan diplomat berwibawa yang layak untuk menjadi perdana menteri yang ke-11 dan seterusnya," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Malah Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa tugas mencari calon perdana menteri yang lebih berwibawa itu mudah kerana Anwar meletakkan penanda aras yang begitu rendah.
Antara lain, katanya, disebabkan Anwar selalu "bercakap kosong, berjanji manis, namun hasilnya tiada".
"Tidaklah sukar untuk sesiapa menjadi perdana menteri ke-11 setelah kita menyaksikan PM ke-10 merendahkan kriteria (lowered the bar) sebagai perdana menteri kerana bercakap kosong, berjanji manis, hasilnya tiada. Indah khabar dari rupa.
"Setelah dihinggapi penyakit kleptokrasi dan kakistokrasi, Malaysia amat dahagakan pakej kepimpinan negara yang profesional, kompeten, berintegriti, dan ikhlas yang meletakkan kepentingan negara di hadapan, bukan agenda peribadi.
"Dalam hal ini, saya cenderung untuk melihat seorang ‘teknokrat’ diberikan peluang untuk memimpin Malaysia sebagai calon perdana menteri ke-11," katanya.
Impikan macam Khalid Ibrahim
Dalam temu bual dengan Malaysiakini baru-baru ini, Nazri berkata, dia melihat tiada calon lain yang berpotensi memegang jawatan perdana menteri untuk penggal akan datang, termasuk dari partinya sendiri, Umno.
Mengaku sedih dengan apa yang berlaku, Nazri berkata, sistem politik di negara ini menghalang seorang pemimpin intelek dilahirkan kecuali mereka terlibat dengan mainan sentimen perkauman dan agama.
"Cuba beritahu saya siapa? Ia akan menjadi bencana bagi kita jika Anwar tidak menjadi perdana menteri untuk lima tahun lagi selepas 2026," katanya.
Kenyataan Nazri turut mendapat reaksi ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, yang berpendapat pelantikan Anwar itu banyak dipengaruhi oleh sikap diambil Umno pada masa akan datang.

Malah, kata Annuar, ada tokoh lain layak diangkat sebagai perdana menteri ke-11 termasuk dari PAS dan Bersatu.
Menurut Syahir, dia berharap selepas ini Malaysia dipimpin oleh seorang teknokrat bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Khalid Ibrahim, atau yang setaraf dengannya.
Dia juga menyatakan ciri-ciri yang perlu ada pada calon perdana menteri akan datang iaitu profesional yang disegani, kompeten, berintegriti dan bermaruah serta mengotakan kata-kata sendiri.
"Tidak terhad daripada kalangan ahli politik (semata-mata), boleh juga ditinjau dari kalangan tokoh korporat - ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang profesional, berpengalaman dan disegani," katanya.
