Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli vs Jakoa: Laporan bercanggah mengenai aduan sungai tercemar

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Rubiah Wang, berkata terdapat percanggahan mengenai sama ada Orang Asli di Kampung Kelaik telah membuat aduan berkenaan isu perubahan warna sungai akibat aktiviti perlombongan sejak 2009 atau tidak.

“Terdapat dua kenyataan yang bercanggah,” katanya, yang menjawab bagi pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Rubiah berkata demikian semalam sebagai respons kepada usul dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, di Kamar Khas Parlimen mengenai kes yang disyaki keracunan logam berat melibatkan komuniti Temiar di Gua Musang, Kelantan.

Terdahulu, Khoo mempersoalkan dakwaan Jakoa yang menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu.

Siasatan khas Malaysiakini pada Disember lalu mendedahkan tahap kromium tinggi – logam berat bersifat karsinogenik – dalam darah salah seorang daripada enam penduduk Orang Asli yang menetap di kawasan hilir lombong bijih besi di tanah adat mereka, yang didiami selama beberapa generasi.

Ketika perbincangan diadakan, Khoo menegaskan bahawa penduduk kampung telah menghantar surat bantahan, termasuk satu yang diserahkan sendiri.

“Oleh kerana komuniti ini tidak biasa menyimpan rekod, mereka hanya mempunyai satu surat sebagai bukti,” katanya, sambil menegakasn sebagai individu yang berasal dari Sarawak, Rubiah sepatutnya memahami cara hidup mereka.

Ahli Parlimen DAP itu turut menegaskan bahawa sejak 2009, sungai di kampung tersebut telah bertukar merah akibat pencemaran daripada aktiviti perlombongan bijih besi.

Meskipun dua laporan pendedahan – pada tahun 2012 dan 2014 – telah mengetengahkan isu pencemaran sungai ini, kebimbangan masyarakat berkenaan tidak pernah diambil tindakan.

Menurut Khoo, aktiviti perlombongan haram itu bukan sahaja mencemarkan sumber air mereka, malah menjejaskan mata pencarian penduduk.

Pada Disember lalu, susulan pendedahan laporan Malaysiakini, Koordinator Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim & Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Balasubramaniam, berkata dia telah menyaksikan perjuangan komuniti berkenaan untuk mempertahankan cara hidup dan tanah adat mereka sejak 2012, namun usaha mereka untuk mendapatkan bantuan kerajaan tidak membuahkan hasil.

Susulan laporan itu, kedua-dua operasi perlombongan telah dihentikan atas dakwaan pencemaran logam berat di sungai berhampiran, sementara siasatan dijalankan.

Kementerian Kesihatan telah menjalankan saringan kesihatan dan mengumpulkan sampel darah, rambut, serta kuku daripada kira-kira 60 penduduk kampung, namun tidak mendedahkan skop penuh ujian yang akan dijalankan.

Pegawai Jakoa kerap lawat kampung

Rubiah menegaskan bahawa dia tidak bersikap defensif, tetapi hanya menyatakan bahawa tiada aduan diterima di peringkat daerah, negeri, mahupun ibu pejabat Jakoa.

Bagi mengukuhkan hujahnya, dia menunjukkan percanggahan kenyataan berkenaan, kerana perbincangan Jakoa dengan penduduk kampung mendapati tiada aduan yang pernah dibuat.

"Tetapi jika benar terdapat aduan, sila kongsikan dengan kami dan kami akan menyiasatnya.

“Untuk memastikan kebajikan Orang Asli, kami bukan sahaja turun padang, malah mempunyai pegawai outreach yang kerap melawat kawasan itu,” jelasnya.

Selain itu, kata Rubiah, isu ini juga tidak pernah dibangkitkan dalam perhimpunan tahunan Tok Batin, sebagai respon kepada cadangan Khoo agar jabatan itu menyemak semula rekod mereka.

Dia turut menegaskan bahawa Jakoa hanya mengetahui mengenai pencemaran ini selepas laporan Malaysiakini diterbitkan pada Disember lalu.

Timbalan menteri terkejut tindakan saman

Khoo turut mempersoalkan: “Mengapa Jakoa tidak tahu mengenai saman yang difailkan terhadap mereka oleh penduduk Kampung Kelaik?”

Rubiah menyatakan rasa terkejutnya apabila dimaklumkan bahawa Jakoa adalah antara beberapa pihak yang dinamakan sebagai responden dalam saman yang difailkan oleh penduduk kampung.

Dia mengesahkan bahawa setakat ini, mereka belum menerima sebarang dokumen saman dan bimbang ia mungkin telah dihantar ke kementerian, kerana Jakoa berada di bawah bidang kuasanya dan pegawai undang-undang mereka juga berada di dalam kementerian.

Saman tersebut dijadualkan dibicarakan di mahkamah pada bulan Mac.

Tiada rekod penyakit berkaitan pencemaran – KKM

Merujuk kepada perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Rubiah menyatakan bahawa tiada rekod penyakit yang dikaitkan dengan pencemaran sejak 2009.

“Dari tahun 2009 hingga 2024, KKM melaporkan bahawa tiada kes yang dikaitkan dengan pencemaran telah dikenal pasti.

"Dalam perbincangan khas, kementerian menyatakan bahawa tiada rekod penyakit yang berkaitan dengan pencemaran ditemui," katanya.

Sementara itu, Rubiah mendedahkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih menyiasat tapak tersebut, kerana pencemaran masih berterusan walaupun operasi perlombongan telah dihentikan.

“Menurut JAS, pencemaran di sungai masih berlanjutan,” lapornya.

Sampel air berbeza?

Rubiah turut berusaha membetulkan dakwaan Khoo bahawa jabatan itu telah menyerahkan sampel air dari sumber yang tiada lombong di hulu untuk ujian logam berat – yang menyebabkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan seolah-olah sungai merah itu tidak tercemar oleh logam berat dari lombong.

Selain itu Khoo juga mempersoalkan mengapa sampel air tidak diuji untuk pencemaran bakteria, memandangkan air tersebut digunakan untuk mandi dan minum.

"Air terawat yang dibekalkan kepada penduduk Kampung Kelaik berasal dari sumber bukit, bukan sungai, bagi memastikan bekalan air selamat.

"Oleh itu, dakwaan bahawa Jakoa memberikan sampel air yang salah adalah tidak benar," kata Rubiah.

Bagaimanapun, penduduk Kampung Kelaik tidak mempunyai akses kepada air paip.

Sepuluh hari selepas pendedahan Malaysiakini, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa sampel dari sumber air yang digunakan oleh Kampung Kelaik bebas daripada pencemaran logam berat.

Ketika Malaysiakini melawat kampung itu awal tahun lalu, tandak (takungan air) kecil di bukit lain dipenuhi pasir dan sisa, dan penduduk melaporkan bahawa paip sering tersumbat selepas hujan lebat, menyebabkan mereka terputus bekalan air selama beberapa hari – kecuali bergantung kepada air berkarat dari Sungai Cenderoh dan Sungai Kelaik yang berdekatan.

Walaupun begitu, penduduk masih bergantung kepada sungai-sungai ini untuk mandi dan mencuci, selain menangkap ikan dan katak di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS