Semua pihak digesa menghentikan penyebaran fitnah dan spekulasi yang boleh menggugat keharmonian berhubung isu tulisan Cina di Jalan Petaling, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin.
"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya terdapat arahan untuk menghapuskan tulisan Cina pada papan tanda di Jalan Petaling adalah tidak benar dan merupakan satu rekayasa yang tidak berasas.
"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan perkara ini.
"Pihak yang menyebarkan dakwaan tidak berasas ini harus bertanggungjawab dan memohon maaf kepada komuniti yang terkesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, DBKL menegaskan pihaknya tidak bercadang untuk membuang tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling. Penjelasan itu dikeluarkan selepas tersebar dakwaan kononnya tulisan Cina di kawasan tumpuan pelancong itu akan dipadamkan.
Kenyataan itu susulan bantahan keras oleh MCA terhadap “cadangan” yang dipetik daripada kenyataan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Ang Say Tee, bahawa perkara itu sedang dalam pertimbangan.
Presiden MCA, Wee Ka Siong sebelum ini berkata isu papan tanda Jalan Petaling tidak sepatutnya menjadi polemik selagi tulisan bahasa kebangsaan digunakan dalam saiz lebih besar.
Dalam bahasa Cina, Jalan Petaling dikenali sebagai "Jalan Kilang Ubi Kayu" bersempena kilang ubi kayu yang ditubuhkan oleh Yap Ah Loy, antara tokoh perintis awal Kuala Lumpur.

Menurut DBKL, sebarang keputusan berkaitan papan tanda dibuat berdasarkan Undang-undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982.
Azman tanpa menamakan individu tertentu menegaskan pemimpin berpengalaman dalam politik sepatutnya lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat kepada umum.
"Penyebaran dakwaan yang palsu dan tidak tepat bukan sahaja mencetuskan keresahan, tetapi juga boleh merosakkan perpaduan dalam masyarakat.
"Semua pihak perlu lebih berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan yang berpotensi memecahbelahkan rakyat di negara ini.

"Hormatilah identiti dan warisan setiap kaum di Malaysia, dan elakkan daripada menangguk di air yang keruh hanya semata-mata untuk meraih kepentingan politik sempit," katanya.
Kepelbagaian budaya dan identiti kaum di Malaysia, menurutnya, perlu terus diraikan dalam semangat perpaduan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.
Kerajaan Madani katanya, sentiasa komited dalam memastikan perpaduan masyarakat terpelihara daripada sebarang ancaman pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya menyeru semua pihak agar menyemak fakta sebelum berkongsi maklumat dan memastikan setiap informasi yang disebarkan diperoleh daripada sumber yang sahih," katanya.
