Badan bukan kerajaan (NGO) antirasuah menuntut penjelasan Peguam Negara (AG) Mohd Dusuki Mokhtar berhubung pertuduhan baru terhadap Najib Razak membabitkan kes International Petroleum Investment Company (IPIC).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh 53 pertubuhan dan 1,106 individu, termasuk Bersih, Haram, Ideas dan Projek Sama. Mereka menuntut pertuduhan baru dikenakan terhadap Najib dalam kes berkenaan bagi mengelak bekas perdana menteri dilepaskan dan dibebaskan (DAA) daripada pertuduhan.

"Kami menuntut AG Mohd Dusuki untuk menyatakan jangka masa pertuduhan-pertuduhan baru terhadap Najib dalam kes IPIC yang melibatkan RM 6.6 bilion dijangka akan dibuat.
"Hari ini genap tiga bulan Najib diberikan keputusan DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 November 2024.
"Bermakna defendan boleh didakwa dengan tuduhan baru oleh pihak pendakwaan. Namun, jika pendakwaan gagal membawa tuduhan baru dalam tempoh yang panjang, maka defendan boleh memohon DAA.
"Kelengahan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengemukan tuduhan baru selepas DNAA sudah menjadi satu modus operandi defendan-defendan VIP mendapat DAA dan dilepaskan sepenuhnya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media bertajuk “Rakyat benci rasuah. Najib tidak layak terima pengampunan atau tahanan rumah” hari ini.

Pada 27 Nov tahun lalu, Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah diberikan DNAA atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan DNAA pasukan pembelaan, berikutan kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan beberapa dokumen sulit yang penting kepada kedua-dua tertuduh untuk persediaan pembelaan mereka.
Kes jenayah itu telah berlarutan sejak Najib dan Irwan pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2018. Kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding mahkamah terbuka, hakim Muhammad Jamil Hussin menegaskan bahawa pihak pendakwaan gagal mematuhi kehendak Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut undang-undang pihak pendakwaan perlu mendedahkan maklumat dan dokumen yang ingin dikemukakan dalam kes terhadap orang yang dituduh, sebelum perbicaraan dimulakan

Sementara itu, kumpulan berkenaan turut meminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyahrahsiakan dokumen yang gagal diserahkan oleh AGC.
AGC katanya gagal mengemukakan dokumen-dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah yang telah diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi di bawah Kementerian Kewangan.
"Kami juga menggesa Menteri Kewangan Anwar untuk menyahrahsiakan dokumen-dokumen tersebut untuk membantu AGC.
"Sekiranya Najib akhirnya mendapat DAA dalam kes IPIC kerana AGC gagal mengemukakan pertuduhan baru dalam tempoh yang munasabah atau kerana Kementerian Kewangan enggan menyahrahsiakan dokumen-dokumen tersebut, maka Anwar sebagai Perdana Menteri yang mengawal tempoh perkhidmatan AG dan Menteri Kewangan memikul tanggungjawab politik sepenuhnya atas impuniti yang dinikmati Najib," kata kenyataan itu.
Oleh itu katanya, selagi AGC tidak mengemukakan pertuduhan baru dalam IPIC, gabungan itu akan terus mendukung suara rakyat untuk menghantar peringatan setiap tiga bulan kepada Mohd Dusuki.
