Timbalan Pengerusi Bersih Wong Yan Ke menggesa DAP dan MCA menyatakan pendirian mereka terhadap kes bekas perdana menteri Najib Razak dan skandal rasuah Sabah.
Wong berkata pemimpin kedua-dua parti itu rancak berbahas mengenai kontroversi papan tanda Jalan Petaling, tetapi dilihat tidak mengambil pendekatan sama terhadap isu rasuah.
"Adalah dikesalkan bahawa DAP dan MCA tertumpu pada isu papan tanda Jalan Petaling. Namun, apabila ia melibatkan perkara rasuah atau antirasuah, parti-parti ini gagal bertindak balas dengan segera," katanya.
"Ahli Parlimen DAP, Adun dan ahli politik MCA ini — bolehkah anda menggunakan semangat yang sama apabila membincangkan kes rasuah? Bolehkah anda mengkritik isu-isu ini dengan intensiti yang sama?" soalnya semasa sidang media semalam.
Wong seterusnya mendesak ahli politik DAP dan MCA, serta pemimpin parti lain, untuk menjelaskan pendirian mereka terhadap kes berkaitan rasuah.
"Kami mahu melihat anda menyumbang kepada pembinaan negara, bukan hanya terlibat dalam perbalahan dalam talian. Pendirian anda terhadap rasuah mesti konsisten.
"DAP dahulu bercakap dengan berani — jadi mengapa sekarang anda berdiam diri mengenai skandal rasuah Sabah dan isu tahanan rumah Najib? Di manakah pendirian anda?
"Hentikan pertengkaran dalam talian. Isu papan tanda harus diselesaikan. Fokus kepada usaha pencegahan rasuah dan bekerja ke arah kemajuan negara berbanding membahaskan perkara yang tidak membina," katanya.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan pihaknya tidak bercadang untuk membuang tulisan Cina pada papan tanda Jalan Petaling. Penjelasan itu dikeluarkan selepas tersebar dakwaan tulisan Cina di kawasan tumpuan pelancong itu akan dipadamkan.
Kenyataan itu susulan bantahan keras oleh MCA terhadap “cadangan” yang dipetik daripada kenyataan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Ang Say Tee, bahawa perkara itu sedang dalam pertimbangan.
