Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, akan mengumumkan langkah lanjutnya dalam PKR tidak lama lagi sama ada kekal bertanding untuk jawatan naib presiden atau mencuba untuk melangkah lebih jauh ke jawatan timbalan presiden.
Kata Amirudin pada dasarnya dia lebih suka untuk mempertahankan saja kerusi naib presiden yang dimenanginya sebelum ini.
Pun begitu, katanya, dia perlu memberi pertimbangan kepada kemungkinan bertanding jawatan lebih tinggi selepas ada faktor lain yang muncul.
"Saya cenderung untuk mempertahankan jawatan naib presiden, namun ada permintaan daripada beberapa pihak supaya saya bertanding di peringkat lain.
"Apa pun saya perlu berbincang dengan penyokong sebelum membuat keputusan muktamad," katanya dipetik Sinar Online hari ini.
Ketika ini jawatan Timbalan Presiden PKR disandang Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun ketika kehangatan pemilihan semakin terasa, sudah ada gesaan agar jawatan Rafizi dicabar, sekali gus memberi isyarat bahawa persaingan sengit mungkin berlaku sekali lagi.
Sebelum ini Rafizi pernah berdepan dengan pertandingan sengit satu lawan satu dengan Azmin Ali dan pemilihan pada 2018 itu menyaksikan dia kalah kepada bekas ahli parlimen Gombak berkenaan.
Pada 2022 Rafizi sekali lagi bertanding dan berdepan dengan cabaran Saifuddin Nasution Ismail. Dalam percubaan tersebut Rafizi menang selesa mengatasi Menteri Dalam Negeri.
Amirudin merupakan seorang daripada empat naib presiden yang memenangi pemilihan pada 2022. Selain Amirudin, tiga yang lain ialah Chang Lih Kang, Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Aminuddin Harun.
Kata Amirudin dia akan bertemu dan berbincang dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, sebelum membuat keputusan muktamad dan pengumuman mengenainya akan dibuat hari ini.
Menurut Adun Sungai Tua itu lagi, antara faktor utama yang diberi pertimbangan ialah kesan jika dia bertanding untuk jawatan timbalan presiden.
"Walaupun kita ada hak demokrasi masing-masing (untuk bertanding), namun ia terpulang kepada mereka (ahli parti).
"Jadi hal ini yang menjadi pertimbangan paling serius dalam saya membuat keputusan tersebut,” katanya.
