Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak menjawab soalan parlimen mengenai mengapa kerajaan tidak mengekstradisi pengasas Bestinet Aminul Islam Abdul Nor.
Aminul dikehendaki oleh pihak berkuasa Bangladesh atas dakwaan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing.
Dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Lip Eng (Pakatan Harapan-Kepong), Saifuddin (di atas) memberi kenyataan umum mengenai proses ekstradisi Malaysia tanpa merujuk secara khusus kepada kes ahli perniagaan itu atau menyebut namanya.
“Penyerahan mana-mana individu kepada mana-mana negara atas alasan individu tersebut dikehendaki di negara tersebut, perlu melalui proses perundangan berkaitan. Proses ekstradisi di Malaysia adalah berdasarkan kepada dua legislatif, iaitu Akta Ekstradisi 1992 (Akta 479) dan Triti Ekstradisi di antara Malaysia dan negara asing.
"Sekiranya Malaysia tidak mempunyai Triti dengan negara asing, proses ekstradisi masih boleh dilaksanakan berdasarkan Seksyen 3 Akta 479,” kata menteri itu dalam jawapan bertulisnya.
Lim pada Rabu, bertanya kepada Saifuddin mengapa Aminul tidak diekstradisi walaupun menjadi orang dikehendaki di Bangladesh.
Pada November, polis Bangladesh menggesa Malaysia menangkap dan mengekstradisi Aminul, pengerusi dan pengasas Bestinet, syarikat yang menjalankan Sistem Pengurusan Pusat Pekerja Asing (FWCMS) yang kontroversi, yang digunakan kerajaan Malaysia untuk memproses kemasukan ratusan ribu pekerja asing.
Aminul, kelahiran Bangladesh yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi, tidak lagi berkhidmat sebagai pengerusi tetapi masih memegang saham dalam syarikat itu.
Polis Bangladesh juga telah meminta Malaysia menahan rakan Aminul, Ruhul Amin, atas pertuduhan yang sama.
Ruhul, warga Bangladesh, mengendalikan Catharsis International, sebuah syarikat Bangladesh yang turut terlibat dalam pengurusan pekerja asing.
Kedua-dua mereka dituduh memainkan peranan penting dalam sistem yang "memeras wang secara salah daripada mangsa" dan mendedahkan mereka kepada "penyeksaan fizikal dan mental", menurut surat bertarikh 24 Okt yang dihantar dari Interpol cawangan Bangladesh kepada rakan sejawatannya di Malaysia, yang dilihat oleh Bloomberg.
