Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Zulfarhan: 6 bekas pelajar UPNM terlepas tali gantung

Enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas daripada tali gantung apabila mahkamah tertinggi negara menerima rayuan mereka bagi mengetepikan hukuman mati yang dikenakan sebelum ini.

Sebaliknya panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan hukuman terdahulu, sekali gus menggantikan hukuman gantung tersebut dengan penjara 18 tahun bagi kesalahan membunuh tanpa niat.

Kini berusia 29 tahun, enam bekas pelajar terbabit ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka disabitkan bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian berhubung Pegawai Kadet Tentera Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017 akibat kecederaan termasuk akibat ditekap dengan seterika wap yang menyebabkan 80 peratus badannya melecur.

Zulfarhan –21 tahun ketika itu – diserang berikutan keengganannya untuk mengaku mencuri komputer riba salah seorang daripada enam bekas berkenaan.

Dalam keputusan hari ini, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim yang mengetuai panel hakim memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman mati serta membuat keputusan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dua lagi hakim yang mendengar rayuan berkenaan ialah Nordin Hassan Abdul Karim Abdul Jalil.

Kedua-duanya merupakan hakim Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM itu pada 23 Julai tahun lalu.

Ia diputuskan selepas hakim membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihadapi mereka sebelum ini.

Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, Abdoul Hakeem, didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh pada 2 Nov 2021 selepas mendapati mereka bersalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat membunuhnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS