Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah Sabah: Kata-kata PM tamparan buat SPRM, kata Bersatu
Diterbitkan:  Feb 28, 2025 3:35 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Bersatu menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat “tamparan” tersendiri dengan pendirian yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam.

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, berkata Anwar menegaskan dia tidak akan berkompromi terhadap amalan rasuah walaupun ia melibatkan individu yang berkedudukan tinggi.

Hal itu, dakwa Ronald, menunjukkan percanggahan pendirian SPRM dengan sikap ditunjukkan oleh perdana menteri.

“Kenyataan terbaru perdana menteri bahawa beliau tidak peduli dengan sebesar mana atau setinggi mana kedudukan seseorang yang terpalit dengan rasuah merupakan tamparan kepada SPRM yang menolak bukti video berkaitan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ronald, alasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, bahawa video yang memaparkan “secara terang lagi jelas” mengenai rasuah projek cari gali mineral telah disunting dan tiada kredibiliti bertentangan sama sekali dengan naratif dan kesungguhan perdana menteri menghadapi dakwaan rasuah.

Dia yang juga Pengerusi Bersatu Sabah turut mengingatkan SPRM bahawa bekas ketua pesuruhjaya mereka, Latheefa Koya, turut menyatakan pandangan berbeza berhubung cara agensi antirasuah berkenaan menangani skandal tersebut.

Kata Ronald, Latheefa berpendapat video skandal rasuah Adun Sabah – seperti yang didedahkan Malaysiakini sebelum ini –merupakan bukti yang wajib disiasat.

Malah, katanya, Latheefa juga menegaskan dia tidak bersetuju dengan kenyataan Azam bahawa sesuatu video yang disunting tidak boleh dijadikan bukti.

Semalam Anwar dilaporkan berkata, dia tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya tidak kira besar mana, tinggi mana pun kamu, saya tidak akan izinkan kerana ini akan mengorbankan, mengkhianati dan merosakkan sistem pertahanan negara kita.

"Saya tidak akan biarkan. Sedaya upaya, saya akan cuba membersihkan (perbuatan rasuah)," katanya semasa merasmikan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini.

Dalam kes Adun Sabah sekarang, kata Ronald, dia yakin SPRM akhirnya akan bertindak selari dengan kenyataan Anwar yang tidak peduli dengan kedudukan atau jawatan mereka yang terpalit rasuah.

“Saya juga pasti SPRM tidak berhasrat melihat kerajaan Madani ini dilabel sebagai tidak serius dan mengamalkan penyiasatan serta pendakwaan terpilih dalam usahanya memerangi rasuah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS