Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam masuk Penjara Taiping siasat kematian tahanan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memaklumkan pihaknya telah memasuki Penjara Taiping bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia sehingga membabitkan kematian tahanan serta kecederaan beberapa orang banduan.

Perkara itu dimaklumkan Pesuruhjaya Suhakam, Farah Nini Dusuki yang memaklumkan skop siasatan kini diperluas dan tidak terhad di penjara itu semata-mata.

"Kita telah mula masuk ke Penjara Taiping pada 25 Feb hingga 27 Feb untuk menjalankan siasatan.

"Skop siasatan selepas ini lebih luas tidak hanya terhad di Penjara Taiping, tetapi juga hospital dan ibu pejabat polis daerah (IPD).

"Itu sahaja yang kita boleh maklumkan setakat ini kerana ia masih lagi dalam siasatan," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Farah Nini menerima memorandum daripada keluarga mendiang M Vijian - banduan Penjara Taiping yang meninggal dunia didakwa akibat dipukul oleh warden dalam rusuhan yang berlaku pada 27 Januari lalu.

Memorandum itu diserahkan keluarga mendiang M Vijian di ibu pejabat Suhakam, di ibu negara, hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Suhakam mengecam keras tindakan Jabatan Penjara Malaysia yang menghalang pegawainya daripada menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah.

Jelas Suhakam, tidakan itu bukan sahaja menghalang siasatan bebas, tetapi juga bertentangan dengan kuasa statutori Suhakam di bawah Akta 597.

Pada 27 Januari lalu, Jabatan Penjara mengesahkan satu insiden kekecohan berlaku di Penjara Taiping melibatkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke penjara berkenaan.

Pihak Jabatan Penjara mendakwa ia berlaku akibat provokasi namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai sifat sebenar provokasi tersebut.

Sementara itu, wakil keluarga mendiang Vijian, Sisiliya Joseph yang juga kakak tirinya menuntut keadilan buat adiknya yang didakwa telah dikasari sewaktu di dalam penjara.

Katanya, mereka hanya mengetahui kecederaan yang dialami oleh Vijian yang juga ditahan di Penjara Taiping selepas dimasukkan ke hospital.

Menurut Sisiliya, adiknya itu telah dihantar ke Hospital Taiping yang pada awalnya disyaki menghidap penyakit tibi.

"Pada 13 Februari lalu, kami diberitahu oleh doktor bahawa keadaan kesihatan adik semakin merosot.

"Kemudian, kami menerima panggilan memaklumkan Vijian meninggal dunia pada 9.10 pagi 15 Februari lalu," katanya.

Tidak berpuas hati dengan kematian Vijian, mereka menghantar mayat ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital di Ipoh untuk dibedah siasat.

Sisiliya mendakwa hasil bedah siasat mendapati dua tulang rusuknya patah antara tiga dan empat minggu lalu sebelumnya, dipercayai akibat dipukul.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS