Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Model hibrid tangani kebimbangan kakitangan parlimen
Diterbitkan:  Feb 28, 2025 9:34 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 yang telah melalui bacaan pertama memperkenalkan model hibrid bagi menangani kebimbangan kakitangan parlimen mengenai peluang kerjaya mereka pada masa hadapan.

Parlimen dalam satu kenyataan berkata model hibrid berkenaan membolehkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan Parlimen terus dikendalikan oleh pegawai perkhidmatan awam.

Sementara itu, katanya, pengurusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk hal-ehwal urusan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen yang merupakan perkhidmatan berasingan.

"Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kelangsungan kepakaran khusus dalam pengurusan sesi Parlimen, tetapi juga mengekalkan kelancaran operasi melalui pengalaman pegawai Perkhidmatan Awam.

"Pada masa yang sama, ia membuka laluan kerjaya yang lebih fleksibel kepada pegawai yang ingin berkhidmat di Parlimen secara tetap atau sementara,” kata Parlimen dalam satu kenyataan hari ini.

Parlimen menyatakan demikian sebagai respons daripada kajian tinjauan yang dijalankan dalam kalangan kakitangannya pada 6 Februari tahun lalu.

Malaysiakini difahamkan bahawa kenyataan itu, serta sidang media oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul, bertujuan menjelaskan dakwaan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang memetik hasil kaji selidik tersebut untuk menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Semalam, Hamzah menolak rang undang-undang itu sebagai reformasi yang "tidak signifikan".

Kata Hamzah, dia dimaklumkan oleh bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, yang mengetuai Dewan Rakyat dari 13 Julai 2020 hingga 18 Disember 2022, bahawa 70 peratus kakitangan Parlimen membantah perubahan yang dicadangkan.

Bertentangan dengan dakwaan Hamzah, kenyataan hari ini memetik dapatan kaji selidik pada 2024 yang menunjukkan 67 peratus kakitangan mahu kembali ke perkhidmatan asal mereka, manakala hanya 33 peratus bersetuju untuk kekal dalam skim perkhidmatan parlimen.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil hari ini menjelaskan bahawa Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen yang dibentangkan pada Isnin adalah berbeza daripada versi sebelumnya yang menerima maklum balas negatif daripada kakitangannya.

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mengembalikan kebebasan Parlimen daripada cabang eksekutif dengan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen dan Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Ini membolehkan Parlimen menguruskan pentadbirannya secara berasingan daripada sistem perkhidmatan awam.

Ia disertai oleh rang undang-undang pindaan perlembagaan bagi membolehkan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dikuatkuasakan.

Sementara itu, bagi memudahkan pelaksanaan model hibrid ini, Parlimen menyatakan bahawa satu kumpulan nukleus akan ditubuhkan untuk menyelaraskan pelaksanaannya dalam tempoh 24 bulan akan datang.

"Model hibrid ini adalah langkah strategik bagi memastikan kecekapan pentadbiran Parlimen Malaysia, mengekalkan tenaga pakar dalam urusan perundangan dan memenuhi keperluan pelbagai pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Senator dan pegawai yang terlibat dalam perkhidmatan ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS