Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar ditahan malam tadi kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Bercakap kepada Malaysiakini, Azam menafikan bahawa penahanan itu adalah kerana artikel Malaysiakini baru-baru ini mendedahkan kartel pemerdagangan warga asing.
Menurut Azam, wartawan itu didakwa meminta RM100,000 daripada ejen itu sebagai balasan untuk tidak menyiarkan dua artikel berhubung ejen berkenaan.
Kata Azam lagi, jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.
“Ejen itu membuat laporan kepada SPRM, selepas itu kami menjalankan apa yang dipanggil ‘kes perangkap’.
“Ejen itu kemudian bertemu wartawan di Hotel Concorde di Shah Alam di mana wang tunai diserahkan kepada wartawan.
“Pegawai SPRM menahan wartawan itu di tempat kejadian dengan wang RM20,000,” katanya.
Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan remannya selama empat hari.
SPRM menyiasat kes itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Undang-undang itu membenarkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi subjek kesalahan.
Nantha - yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 - telah menulis secara meluas baru-baru ini mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Pengarang Eksekutif Malaysiakini RK Anand dan Pengarang Urusan Ng Ling Fong berkata portal berita itu terkejut dengan dakwaan terhadap wartawannya.
"Nantha Kumar seorang wartawan berpengalaman yang telah berada di barisan hadapan dalam membongkar pelbagai skandal. Dia secara konsisten menunjukkan dedikasi dan keberanian dalam membuat lapora-laporan ini, selalunya membahayakan diri sendiri.
“Malaysiakini kekal teguh dengan prinsipnya dan tidak bertolak ansur dengan sebarang kesalahan. Pada masa yang sama, kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk membantu wartawan kami dalam proses itu," tambah mereka.
Sementara itu, peguam Rajsurian Pillai berkata dia telah bercakap dengan Nantha, yang menjelaskan apa yang telah berlaku.
“Saya lebih suka tidak mendedahkan butiran lanjut buat masa ini kerana perkara itu masih dalam siasatan. Jika dia didakwa, kami akan mempertahankannya di mahkamah.
"Buat masa ini, biarkan SPRM menyelesaikan siasatan mereka," katanya.
Dalam maklum balas segera, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengambil maklum penahanan seorang anggota NUJM-Malaysiakini.
“NUJM berharap sebarang siasatan oleh SPRM akan membawa keadilan kepada semua pihak dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini,” kata Setiausaha Agung NUJM Teh Athira Yusof.
