Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Geramm, NUJM gesa wartawan Mkini ditahan SPRM diberi layanan adil
Diterbitkan:  Mar 1, 2025 1:05 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa agar wartawan Malaysiakini di bawah tahanan SPRM diberi layanan yang adil, termasuk akses undang-undang kepada perwakilan.

Geramm berkata pihak mereka maklum SPRM malam tadi menahan wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar kerana didakwa menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing.

“Kami memantau dengan teliti situasi ini dan terus komited untuk memperjuangkan kebebasan akhbar dan hak pengamal media.

“Pada masa ini, kami mengelak daripada mengulas mengenai perincian kes itu dan akan menunggu siasatan,” kata Geramm dalam satu kenyataan di Facebook.

“Bagaimanapun, kami terus membela semua petugas akhbar dan menegaskan wartawan yang disiasat diberi layanan yang adil, termasuk akses kepada perwakilan undang-undang, mengikut prinsip keadilan dan proses yang sewajarnya,” kata kumpulan advokasi media itu.

Secara berasingan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) turut mengambil maklum penahanan anggotanya dari cawangan Malaysiakini.

“NUJM berharap sebarang siasatan oleh SPRM akan membawa keadilan kepada semua pihak dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini,” kata Setiausaha Agung NUJM Teh Athira Yusof.

NUJ-Malaysiakini, dalam kenyataan berasingan turut menyeru semua pihak menghormati proses siasatan dan perundangan yang dijalankan pihak berkuasa.

"Dalam masa yang sama, NUJ-Malaysiakini mahu mengingatkan semua pihak mengenai prinsip innocent until proven guilty (tidak bersalah sehingga dibuktikan), dan berharap semua pihak dapat memberikan ruang supaya siasatan dapat dijalankan dengan telus serta peluang untuk wartawan terbabit membela diri,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki awal hari ini berkata wartawan itu didakwa meminta RM100,000 daripada ejen itu sebagai balasan untuk tidak menyiarkan dua artikel berhubung ejen itu.

Azam mendakwa jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.

"Ejen itu membuat laporan kepada SPRM, selepas itu kami menjalankan apa yang dipanggil 'kes perangkap'," kata Azam.

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman Nantha selama empat hari.

Nantha - yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 - telah menulis secara meluas baru-baru ini mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS