Keterangan yang ada tidak mencukupi untuk memfailkan pertuduhan terhadap bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz berhubung skandal 1MDB, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menurutnya, ini adalah maklum balas yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara berdasarkan kenyataan yang direkodkan daripada keluarga Zeti oleh pasukan penyiasat yang menyiasat skandal 1MDB.

Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya sama ada Zeti akan didakwa atas kesilapannnya membiarkan wang 1MDB bernilai berbilion-bilion ringgit 1MDB dipindahkan ke luar negara atau tidak.
Zeti adalah gabenor Bank Negara dari 2000 hingga 2016.
Dianggarkan AS$4 bilion diselewengkan daripada 1MDB ke akaun di luar negara dari 2009 hingga 2014.
Ketika itu, suami Zeti - Tawfiq Ayman - didakwa menerima dana berkaitan 1MDB melalui Iron Rhapsody Ltd - sebuah syarikat yang didakwa dimiliki oleh Tawfiq dan seorang daripada anak lelaki mereka.

Iron Rhapsody kemudiannya didakwa telah memindahkan dana berkaitan 1MDB kepada Cutting Edge Industries - yang juga dimiliki oleh Tawfiq dan anaknya, Abdul Aziz dan Aliff Ayman.
Adalah dilaporkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Komersial Polis Singapura (CAD) pada 2015 dan 2016 telah berkongsi maklumat mengenai transaksi yang melibatkan Iron Rhapsody Ltd dengan Bank Negara - ketika Zeti masih menjadi gabenor.
AS$15.4 juta dalam dana berkaitan 1MDB telah dihantar semula daripada akaun syarikat yang dimiliki oleh Tawfiq dan anak-anaknya.
Tawfiq dan Zeti sama-sama menafikan sebarang salah laku dalam perkara itu.
Azalina, dalam jawapan bertulisnya, berkata Tawfiq masih dalam siasatan atas dakwaan pengubahan wang haram, manakala tiada kertas siasatan dibuka ke atas Zeti.
Bagaimanapun, dia berkata tiada limitasi dari segi masa bagi tindakan jenayah ke atas mana-mana pihak.
