Paling Popular
Terkini

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony hari ini mula menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kes dokumen palsu.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim - dipengerusikan oleh hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan dianggotai hakim Zaini Mazlab dan Azmi Ariffin - sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

Di bawah undang-undang, Adun Melalap itu akan kehilangan kerusi DUN yang disandangnya, dan tidak layak bertanding pada pilihan raya negeri Sabah akan datang hujung tahun ini.

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menghilangkan kelayakan ahli parlimen atau Adun yang didapati bersalah dalam kes jenayah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun atau denda lebih RM2,000.

Semasa membaca penghakiman bagi pihak panel rayuan hari ini, Zaini berkata mereka tidak cenderung untuk mencabar penemuan ini, kerana Mahkamah Sesyen, sebagai mahkamah perbicaraan, berada dalam kedudukan terbaik untuk menganalisis saksi-saksi ini dan menilai keterangan mereka terhadap bukti yang dikemukakan.

Zaini menambah, panel itu tidak cenderung untuk mengganggu hukuman daripada mahkamah rendah kerana ia hanya perlu diubah jika didapati berlebihan atau tidak mencukupi.

"Kami yakin bahawa Mahkamah Sesyen menyediakan penilaian kehakiman yang menyeluruh terhadap bukti, dan kami tidak mendapati sebarang kesilapan yang akan mewajarkan campur tangan oleh Mahkamah Rayuan.

"Oleh itu, kami membuat kesimpulan bahawa sabitan tertuduh adalah kukuh. Kami menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen," kata Zaini.

Seorang pegawai polis kemudian mengiringi Peter melalui pintu sisi di mahkamah rayuan sambil isterinya melihat dari galeri awam.

Pada 2020 di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, tertuduh berusia 54 tahun minta dibicarakan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pada 2022, mahkamah mendapati presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu bersalah memalsukan surat bertarikh 9 Jun 2014, di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Mahkamah mensabitkannya dua tahun lalu dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000. Dia membayar denda itu, namun mendapat penangguhan pelaksanaan atas hukuman penjara sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

Dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan bersalah dan menjatuhkan hukumannya.

Pihak pendakwaan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan terhadap Peter, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, dan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi.

Peter adalah antara tiga saksi yang membela diri.

Peguam Nicholaw Kow bertindak untuk Peter, manakala timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir untuk pendakwaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS