Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan, mahupun di platform media sosial.
Ketua pengarahnya Sirajuddin Suhaimee berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan Madani menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi, serta kesejahteraan bersama.
“Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.
“Sehubungan dengan itu, Jakim mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan, elakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas tular klip video tiga penyampai radio Era FM yang bernaung di bawah Astro didakwa mengejek tarian kavadi Hindu.

Terdahulu insiden itu dirakam dalam video TikTok yang dikatakan dimuat naik ke akaun stesen radio berkenaan. Bagaimanapun klip asal tidak lagi tersedia tetapi salinannya tular di media sosial.
Ketiga-tiga juruhebah terbabit juga sudah digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan dalam selesai dijalankan berhubung video berkenaan.
Mereka ialah Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin.
Sementara itu parti Muda mengambil maklum permohonan maaf yang telah dibuat oleh penyampai terbabit namun ia mengundang persoalan lain.
Tentang tanggungjawab kolektif
Ketua Penerangan Muda, Leben Siddarth, berkata walaupun permohonan maaf penting, ia masih menimbulkan tanda tanya mengenai tahap peka budaya dalam media arus perdana serta kebertanggungjawab penyampai dan stesen radio.
“Menghormati amalan agama dan budaya adalah asas keharmonian dalam negara kita yang majmuk. Bagaimana insiden seperti ini boleh berlaku dalam sebuah platform penyiaran utama?
“Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan ia tidak berulang?
"Muda menegaskan bahawa insiden ini harus menjadi titik perubahan dalam cara media mengendalikan hal berkaitan agama dan budaya,” katanya.
Leben turut menggesa Era FM memberikan komitmen untuk melaksanakan amalan kesedaran budaya dan agama kepada semua penyampai serta kakitangannya bagi memastikan kesilapan serupa tidak berulang.
“Garis panduan ketat daripada industri penyiaran diperlukan bagi memastikan media bertanggungjawab dalam penyampaian kandungan, khususnya yang berkaitan dengan kepercayaan dan budaya masyarakat.
“Isu ini bukan hanya tentang satu individu atau satu insiden, tetapi mengenai tanggungjawab kolektif dalam memastikan setiap masyarakat di Malaysia mendapat penghormatan yang wajar,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) turut mengingatkan betapa Islam sangat melarang seseorang Muslim mencela dan memperlekehkan agama lain.
Ketua pemudanya B Balendran berkata tindakan sebegitu akan menimbulkan kemarahan penganut agama lain dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam pula.
Dia turut mempersoalkan adakah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil maklum mengenai insiden berkenaan.
“Adakah beliau (Anwar) akan campur tangan dalam isu ini untuk memastikan keadilan ditegakkan?
“Sebagai langkah jangka panjang, DHPP menyeru semua syarikat media untuk lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan mereka.
“Latihan kesedaran budaya dan agama harus diwajibkan dalam kalangan pekerja media bagi memastikan sensitiviti masyarakat dihormati.
“DHPP mengutuk keras tindakan tidak bertanggungjawab ini dan menyeru semua pihak agar lebih peka terhadap sensitiviti kaum dan agama di Malaysia,” katanya.
