Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan. 

Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua per tiga ahli Parlimen dengan 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 lagi tidak hadir.

Sebelum itu, RUU berkenaan dibahaskan oleh 18 anggota parlimen kerajaan dan pembangkang. 

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan antaranya meminda Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan fasal baru (5A).

Ia menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara, dan Dewan Rakyat, atau timbalan yang dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan itu oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan bawah undang-undang persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong yang boleh dilantik dalam kalangan atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam sidang medianya berkata RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang diluluskan hari ini adalah satu kejayaan besar buat negara.

“Saya bersama rakan-rakan jemaah menteri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada 148 orang ahli Parlimen yang telah sama-sama menjadikan tarikh ini satu tarikh yang bersejarah untuk demokrasi dan Parlimen Malaysia.

“Secara substantifnya kerajaan hari ini berjaya bukan hanya menghapuskan satu dosa besar yang berlaku kepada Parlimen Malaysia dan demokrasi negara kita pada tahun 1992, tapi lebih daripada itu, kita bakal membawa satu RUU yang lebih bermakna untuk warga parlimen di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama Menteri Komunikasi itu kesal terhadap tindakan 57 ahli parlimen yang tidak menyokong RUU tersebut.

Kata Fahmi, sepatutnya ketika ini semua pihak menyambut baik langkah yang dibawa oleh kerajaan.

Bahkan dia menganggap RUU berkenaan adalah langkah kanan untuk mengangkat martabat parlimen di negara ini.

“Namun kita lihat mereka gagal segagal-gagalnya.

"Bukan saja kita dengar perbahasan mereka jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah mereka menunjukkan sikap yang tidak mahu membantu dalam proses memastikan parlimen bebas,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS