ULASAN | Keputusan kerajaan memperkenalkan garis panduan harga rujukan bagi perkhidmatan kurier yang berkuat kuasa pada 1 Dis lalu menimbulkan persoalan utama: siapa yang sebenarnya dilindungi oleh dasar tersebut?
Dengan kenaikan harga minimum penghantaran bagi bungkusan di bawah 2kg daripada RM4 kepada RM5, maka pengguna - terutamanya perniagaan kecil dan peniaga dalam talian - bakal menanggung beban kos yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menjelaskan bahawa garis panduan itu tidak bersifat mandatori, sebaliknya sekadar rujukan kepada industri.
Namun, walaupun ia bukan arahan wajib, realitinya syarikat kurier boleh menggunakan harga berkenaan untuk menaikkan kadar caj penghantaran mereka secara seragam. Ia berpotensi mengurangkan persaingan dalam industri dan membebankan pengguna yang mengharapkan kos penghantaran yang kompetitif.
Penetapan harga minimum seperti ini bertentangan dengan prinsip pasaran dan inovasi.
Persaingan harga antara syarikat kurier memberi manfaat kepada pengguna kerana orang ramai boleh memilih perkhidmatan yang paling berpatutan dan efisien. Namun, dengan adanya garis panduan berkenaan, syarikat tidak lagi terdorong untuk menawarkan harga lebih rendah, sekali gus menghilangkan insentif untuk meningkatkan daya saing.
Lebih membimbangkan, peningkatan kos itu bakal memberi impak besar kepada peniaga dalam talian, terutamanya yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
Kos, ketepatan masa jadi keutamaan
Mereka tidak mempunyai kapasiti kewangan seperti syarikat besar untuk menyerap kos penghantaran yang lebih tinggi, yang akhirnya boleh menyebabkan harga barangan meningkat dan mengurangkan daya saing mereka dalam pasaran e-dagang.
Kajian oleh Milieu Insight mendapati 64 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa caj penghantaran sepatutnya dikurangkan, dan 73 peratus menyatakan mereka akan kurang berbelanja dalam talian jika kadar penghantaran meningkat.
Di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, angka tersebut meningkat kepada 77 peratus. Tambahan pula, 66 peratus pembeli menyatakan mereka cenderung beralih kepada penjual alternatif sekiranya caj penghantaran meningkat, dengan trend ini lebih ketara di bandar-bandar utama (67 peratus) berbanding bandar-bandar kecil (58 peratus).
Salah satu justifikasi bagi kenaikan harga dalam mana-mana industri ialah peningkatan mutu perkhidmatan. Namun, dalam kes ini, tiada jaminan pengguna akan menerima perkhidmatan yang lebih baik.
Sebaliknya, tanpa persaingan harga yang aktif, syarikat kurier mungkin kurang terdorong untuk meningkatkan kecekapan operasi masing-masing.
Kesan daripada itu ia boleh membawa kepada perkhidmatan yang lebih perlahan dan kurang responsif terhadap keperluan pelanggan.
Sementerara itu, kajian Blackbox Research bertajuk Grasping the e-Commerce Opportunity in Southeast Asia turut menunjukkan, kos penghantaran yang tinggi dan ketepatan masa penghantaran merupakan kebimbangan utama bagi pengguna di Malaysia, terutama di kawasan luar bandar.

Ia bertepatan dengan dapatan Milieu Insight yang mendapati lebih 60 peratus pengguna di kawasan luar bandar Malaysia berpendapat, kos penghantaran yang tinggi menjadi halangan utama dalam membuat pembelian dalam talian, manakala 45 peratus mengeluh mengenai kelewatan penghantaran yang ketara.
Dengan kenaikan harga minimum penghantaran, pengguna di Sabah dan Sarawak, yang sudah pun berhadapan dengan isu akses logistik, bakal menghadapi cabaran yang lebih besar.
Daripada menetapkan harga minimum, kerajaan seharusnya menumpukan usaha kepada polisi yang menggalakkan persaingan dan inovasi dalam industri kurier.
Insentif kepada syarikat untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan penghantaran, dan memperluaskan jaringan logistik ke kawasan luar bandar akan memberi manfaat lebih besar kepada pengguna berbanding langkah kawalan harga.
Peningkatan kos tanpa peningkatan kualiti hanya akan merugikan pengguna.
Dalam era ekonomi digital yang semakin berkembang, keutamaan seharusnya diberikan kepada dasar yang menyokong persaingan sihat, membolehkan inovasi, dan akhirnya memberikan pilihan yang lebih baik kepada pengguna.
Kerajaan perlu menilai semula pendekatan ini dan memastikan setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar memihak kepada pengguna, bukannya menguntungkan pihak tertentu dalam industri dengan mengorbankan kesejahteraan pengguna secara keseluruhan.
TARMIZI ANUWAR ialah anggota Sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.