Timbalan Presiden MIC M Saravanan mengecam pendakwah Islam kontroversi Zamri Vinoth kerana membuat perbandingan penganut Hindu yang melaungkan “Vel Vel” semasa Thaipusam sebagai individu yang dirasuk atau mabuk.
Saravanan, sendiri yang adalah pengangkut kavadi yang setia, menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan sangat tidak menghormati, serta secara terang-terangan mengabaikan perasaan masyarakat yang beragama Hindu.

“Ini jelas melanggar prinsip 3R (bangsa, agama, raja-raja) yang dipegang oleh kerajaan Madani.
“Kenyataan menghasut seperti ini mengancam keharmonian negara kita dan tidak boleh dibiarkan terlepas daripada hukuman,” katanya kepada Malaysiakini.
Saravanan yang juga ahli parlimen Tapah berkata, beberapa laporan polis telah pun difailkan dan menggesa pihak polis dan kerajaan mengambil tindakan segera dan tegas bagi mencegah provokasi selanjutnya.
“Kesalahan berulang Zamri menunjukkan kurangnya sensitiviti dan rasa hormat terhadap masyarakat berbilang agama di Malaysia.
“Kata-katanya adalah penghinaan langsung kepada kepercayaan Hindu dan warisan budaya agama itu yang kaya,” tegasnya.

Sehubungan itu, pemimpin MIC tersebut menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk memastikan Zamri segera didakwa, sambil menyatakan bahawa ini bukan kali pertama dia menghina agama Hindu.
“Setiap kali dia membuat kenyataan yang menyakitkan hati, dia berselindung di sebalik alasan yang lemah untuk mengelak daripada bertanggungjawab.
“Ini mesti dihentikan. Tindakan tegas adalah perlu untuk menegakkan keharmonian dan saling menghormati dalam masyarakat kita.” katanya.
Dalam catatan di media sosial, Zamri mendakwa bahawa orang ramai tidak menganggap sebagai penghinaan apabila "banyak Hindu sendiri sebut Vel Vel sambil menari-nari macam orang kena rasuk dan mabuk todi.”
Hujahnya, bahawa orang lain hanya meniru amalan itu, namun penganut Hindu berasa tersinggung apabila ini berlaku.
"Kalau marah lain kali jangan buat perkara yang menjadi ikutan orang!
“Kalau nak buat juga jangan marah. Jadi pilih salah satu,” katanya.
Zamri turut memuat naik imej teks “sebut Vel Vel tak la sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield itu pernah jadi penyebab nyawa Adib hilang.”
Kenyataan itu merujuk kepada anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, yang maut ketika rusuhan di luar kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.

Zamri mengulas insiden membabitkan tiga penyampai radio dari Era FM yang sedang disiasat berhubung video Tik Tok yang memaparkan salah seorang daripada mereka sedang menari manakala seorang lagi melaungkan “Vel Vel”.
Mereka sejak itu telah memohon maaf, dan digantung tugas manakala siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berjalan.
