Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan tanggapan yang mengatakan siasatan ke atas bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai motif politik.
Mengulas soalan wartawan yang membangkitkan tanggapan berkenaan, Anwar menyorot mengenai "wang ratusan juta" yang ditemukan di sebuah rumah.
"Kalau jumpa beberapa ratus juta ringgit di rumah kamu, tak boleh siasat? Itu yang cuba kamu katakan? Kalau macam itu kamu tak boleh urus kerajaan, kamu urus kongsi gelap," katanya selepas majlis ramah mesra bersama perdana menteri di Parlimen hari ini.
Anwar kemudian menggesa semua pihak memberi ruang untuk siasatan dijalankan dan menghormati proses undang-undang.
"Prinsip dia (tata kelola pentadbiran yang baik), siasat tanpa kira (siapa). Kalau kata, kenapa tak ada menteri, bagitahu nama, bagitahu mana rumah dia simpan duit, saya tidak halang tindakan (diambil)," katanya.
Pengerusi PH itu juga mengingatkan semua pihak agar tidak menghukum sebelum proses siasatan selesai.
Ismail Sabri dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Jumaat ini bagi memberi keterangan berkaitan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia.
Ini susulan serbuan SPRM di sebuah premis dikaitkan dengan pegawai Ismail Sabri yang menemukan wang tunai kira-kira RM170 juta.
SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta.
