Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis siasat dakwaan pelancong diperas ugut anggota polis peronda
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa anggotanya terlibat dalam kes peras ugut terhadap seorang pelancong di Pudu, Kuala Lumpur, seperti yang tersebar di internet.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, pihaknya masih belum mengesan sebarang laporan polis berkaitan insiden tersebut, namun siasatan sedang dijalankan.

"Semakan yang telah pihak kami buat dapati setakat ini tidak ada sebarang laporan polis yang dikesan namun satu siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan kepada pemberita.

Sulizmie mengulas dakwaan seorang pelancong di forum dalam talian Reddit, yang mendakwa telah diperas ugut sebanyak $800 oleh dua anggota polis peronda.

Pelancong itu mendakwa dia terserempak dengan anggota polis terbabit pada pukul 3 pagi ketika sedang berjalan dari sebuah restoran ke sebuah hotel di Pudu.

Kedua-dua anggota polis itu dikatakan menahan dan memeriksa pelancong berkenaan tanpa menyatakan sebarang sebab, termasuk memintanya membuka telefon bimbit dan tablet.

Anggota polis terbabit kemudian mendapati terdapat saluran Telegram bertema dewasa serta aplikasi dagangan mata wang kripto pada gajet lelaki berkenaan.

“Mereka membesar-besarkan isu mengenai saluran Telegram tersebut serta aplikasi pertukaran kripto yang mereka temui.

“Mereka melihat jumlah kripto yang saya miliki dan cuba memerangkap saya sebagai pelaku pengubahan wang haram atau penipuan kripto dengan mendakwa sekadar memiliki akaun pun adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang.

“Mereka menyebut bahawa mahkamah boleh mengenakan kos sebanyak $10,000 dan sebagainya.

“Ini adalah kali pertama saya berurusan dengan polis (saya tidak pernah berurusan dengan polis di negara asal saya), jadi anda boleh bayangkan betapa paniknya saya, memandangkan saya berjalan seorang diri pada pukul 3 pagi dan mengalami pemeriksaan polis buat kali pertama,” tulis netizen tersebut.

Pelancong itu tidak mendedahkan tarikh kejadian atau menyatakan mata wang bagi jumlah yang disebut dalam hantaran tersebut.

Selepas pemeriksaan itu, pelancong tersebut mendakwa dua anggota polis berkenaan membawanya ke sebuah lorong dan meminta $400 setiap seorang, menjadikan jumlah keseluruhan $800.

“Malah, mereka membawa saya dengan motosikal mereka ke hotel saya, hanya memberi saya kad kunci dan menyuruh saya mengambil wang dalam masa lima minit.

“Saya hanya mendapat kembali telefon, tablet, dan dompet saya selepas memberikan wang kepada mereka.

“Kejadian ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada saya dan merosakkan pandangan saya terhadap Malaysia (ini kali ketiga). Saya tahu ini hanya angkara segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, tetapi saya tidak akan mengunjungi Malaysia lagi,” katanya.

Lebih mengejutkan, pelancong itu juga mendakwa telah mendapatkan kembali wangnya selepas datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, malah diberi kebenaran untuk memarahi dua anggota tersebut di hadapan pegawai lain.

“Saya sangka mereka hanyalah penipu yang menyamar sebagai polis, tetapi apabila pegawai di Dang Wangi mengesahkan bahawa mereka memang pegawai polis sebenar, saya benar-benar tidak percaya,” tambahnya dalam satu komen susulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS