Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal gesa hantaran hina Hindu oleh Zamri Vinoth dipadamkan
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 9:57 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, hari ini menggesa tindakan segera diambil terhadap Zamri Vinoth dan mendesak supaya hantaran pendakwah itu yang membandingkan laungan penganut Hindu semasa Thaipusam dengan orang yang "dirasuk atau mabuk" dipadamkan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata tindakan mesti diambil terhadap Zamri di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Jika hantaran Zamri tidak dipadamkan, ia berpotensi menjadi tular dan menyebabkan lebih banyak kemudaratan, kata Ramkarpal dalam satu kenyataan.

"Penghinaan dan ejekan terhadap agama Hindu oleh pendakwah Zamri dalam hantaran media sosial baru-baru ini mesti dikecam, dan siasatan ke arah pendakwaan terhadapnya perlu dimulakan tanpa sebarang kelewatan. Jika tidak, dia mungkin terus mencetuskan ketegangan serta keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang agama di negara ini.

"Tidak dapat dinafikan bahawa kenyataan Zamri dalam hantaran tersebut, di mana dia menyentuh tentang amalan penganut Hindu membawa kavadi semasa Thaipusam, adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Keadaan ini lebih memburukkan lagi kerana ia dibuat sejurus selepas penghinaan oleh DJ Era FM, yang sekurang-kurangnya telah memohon maaf atas tindakan mereka," katanya.

Dia menambah tindakan harus diambil terhadap Zamri bagi mengelakkan dakwaan berlaku pendakwaan terpilih terhadap pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap, yang baru-baru ini didenda kerana membuat jenaka dalam talian mengenai isu sandwic "ham" yang mencetuskan kontroversi pada Januari.

Ramkarpal berkata kenyataan Zamri melanggar Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan menghina dengan niat mencetuskan ketenteraman awam serta kenyataan yang boleh mendatangkan kacau-bilau.

Rayer lapor polis

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, telah membuat laporan polis terhadap Zamri malam tadi.

“Tindakan Zamri ini adalah perbuatan sengaja untuk mencetuskan ketegangan kaum dan mengganggu keharmonian di negara yang aman ini,” kata Rayer di Facebook.

Ahli Parlimen DAP itu menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pendakwah tersebut kerana mempelekeh sambtan Thaipusam serta mengaitkan ejekan itu dengan insiden di Kuil Seafield yang mengakibatkan kematian seorang anggota bomba.

Sementara itu, Rayer dalam sidang medianya di Parlimen hari ini menggesa Kementerian Komunikasi segera menyekat semua akaun media sosial Zamri Vinoth.

“Mohon Kementerian Komunikasi bertindak segera dengan menyekat akaun media sosial Zamri Vinoth dan minta pihak polis juga menyiasat laporan yang dibuat saya dibawah Akta Hasutan dan juga Kanun Keseksaan serta Akta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Rayer menegaskan segala dakwaan Zamri Vinoth berhubung sambutan perayaan Thaipusam adalah tidak betul sama sekali.

“Kalau lihat kepada hantaran yang dibuat beliau yang menyatakan banyak saja Hindu sebut vel-vel sambil menari-nari macam orang kena rasuk, itu tidak betul.

“Kemudian dia kata mabuk todi, saya nak tanya kepada masyarakat umum yang pernah menghadiri upacara perayaan Thaipusam ini, perayaan ini merupakan upacara keagamaan bagaimana dia boleh keluarkan kenyataan kena rasuk?"soalnya.

“Keduanya beliau kata mabuk todi, dalam perayaan Thaipusam penganut Hindu, saya boleh menyatakan dengan jelas bahawa minuman keras dilarang sama sekali,” tegasnya

Tambah Rayer, dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat Zamri itu jelas memperlihatkan pendakwah terbabit tidak memahami adat resam dan juga perayaan Thaipusam yang sebenar.

“Upacara Thaipusam adalah upacara yang menguji ketabahan seseorang. Jadi saya minta Zamri Vinoth ini jangan ulangi keluarkan kenyataan sedemikian. Kalau kita lihat media sosial dia, berulang kali (buat hantaran sedemikian), soalan saya kenapa Zamri Vinoth berulang kali mencetuskan keadaan huru-hara dalam masyarakat kita?Apa niat sebenarnya?"soalnya lagi.

‘Macam kena rasuk, mabuk’

Terdahulu, dalam satu hantaran di media sosial, Zamri mendakwa masyarakat tidak berasa terhina apabila "penganut Hindu melaungkan ‘vel vel’ dan menari macam orang kena rasuk sambil mabuk todi."

Dia berkata orang lain hanya meniru amalan Hindu, namun penganut agama itu tersinggung apabila perkara itu berlaku.

"Jika anda rasa ia menghina, maka hentikan perbuatan itu supaya orang lain tidak mengikutinya.

"Jika anda memilih untuk meneruskannya, maka jangan tersinggung (apabila orang lain mengejeknya). Jadi, pilih salah satu," katanya.

Zamri turut memuat naik gambar dengan kapsyen yang berbunyi bahawa laungan "vel vel" tidak menyebabkan kehilangan nyawa seperti yang berlaku kepada anggota bomba Adib Kassim, yang meninggal dunia dalam rusuhan di luar sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.

Laungan "vel vel" merujuk kepada pemujaan terhadap Dewa Hindu, Lord Muruga, dan sering dilaungkan semasa Thaipusam ketika seseorang membawa kavadi.

Zamri mengulas mengenai insiden membabitkan tiga penyampai radio Era FM yang sedang disiasat berhubung video TikTok yang menunjukkan salah seorang daripada mereka menari sambil seorang lagi melaungkan "vel vel".

Para penyampai itu, yang telah pun memohon maaf, turut digantung tugas sementara menunggu siasatan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS