PARLIMEN | Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memberitahu tarif elektrik perlu dinaikkan kerana ia menerima kesan daripada perubahan di peringkat global.
Dalam jawapan bertulis parlimen, Petra menyatakan semasa tarif elektrik ditentukan sebelum ini (antara 2022 hingga 2024), harga arang batu dan gas jauh lebih rendah berbanding sekarang.
Kata Petra terdapat keperluan untuk menyemak semula kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) yang berkuat kuasa antara 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.
Pada masa sama, kata kementerian itu lagi, wujud keperluan untuk meneliti semula unjuran harga bahan api - terutamanya arang batu dan gas - berikutan kenaikan mendadak harga global sejak 2022.
"Komponen terbesar dalam pengiraan tarif asas elektrik ialah unjuran harga arang batu dan gas bagi penjanaan elektrik.
"Kenaikan harga bahan api di peringkat global yang meningkat dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini menjadikan unjuran tempoh RP4 adalah lebih tinggi berbanding tempoh RP3 bagi mencerminkan harga bahan api sekarang," katanya.
Petra membuat penjelasan itu sebagai menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta justifikasi kerajaan membenarkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menaikkan tarif elektrik.
Hal itu kerana, kata Pang, TNB mencatat keuntungan bersih lebih RM10 bilion setahun.
Petra memberitahu penetapan unjuran baru bagi tempoh RP4 akan merapatkan lagi jurang harga bahan api semasa supaya pelarasan laluan kos ketidakseimbangan (ICPT) yang disemak setiap enam bulan dapat dikawal agar ia lebih cekap serta berkesan.
"Walaupun kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia telah ditetapkan, Petra dan Suruhanjaya Tenaga (ST) masih meneliti cadangan jadual tarif baru yang dijangka dilaksanakan mulai 1 Julai ini.
"Justeru, tiada sebarang kenaikan tarif elektrik sehingga 14 peratus kepada semua pengguna seperti yang digembar-gemburkan," katanya.
Mengenai keuntungan yang dicatat TNB, Petra berkata, ia dikawal selia oleh kerajaan yang menetapkan had keuntungan yang dibenarkan bagi tempoh tiga tahun.
Kadar keuntungan itu, tambah Petra, dianggap wajar untuk TNB sebagai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia serta setanding dengan ketetapan syarikat utiliti di negara-negara lain.
"Oleh yang demikian, TNB akan kekal stabil sebagai syarikat utiliti yang berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan pada masa yang sama memberikan pulangan munasabah kepada pemegang saham utama yang terdiri daripada syarikat-syarikat pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.
