Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan provokasi tak harus dikompromi, kata Adun S'gor
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 12:27 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Lebih desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Zamri Vinoth yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina penganut agama Hindu di media sosial.

Adun Bukit Sentosa, Gunaraj George, berkata kenyataan Zamri itu boleh mencetuskan ketegangan antara kaum kerana mengandungi unsur penghinaan.

Dia yang juga Pegawai Perhubungan Masyarakat Menteri Besar Selangor berkata, kenyataan Zamri bukan sahaja memperlekehkan amalan penganut Hindu bahkan mengaitkan insiden rusuhan sebuah kuil yang menyebabkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat meninggal dunia pada 2018.

"Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama dengan keharmonian serta perpaduan antara masyarakat pelbagai latar belakang harus sentiasa dipertahankan.

"Sebarang kenyataan yang bersifat provokasi, fitnah atau boleh mengancam keamanan negara harus ditangani tanpa kompromi dengan segera," katanya dalam kenyataan.

Dalam hantaran di media sosial semalam, Zamri mendakwa orang ramai tidak menganggap sebagai penghinaan apabila "banyak Hindu sendiri sebut Vel Vel sambil menari-nari macam orang kena rasuk dan mabuk todi.”

Hujahnya, orang lain hanya meniru amalan itu, namun penganut Hindu berasa tersinggung apabila ini berlaku.

"Kalau marah lain kali jangan buat perkara yang menjadi ikutan orang!

“Kalau nak buat juga jangan marah. Jadi pilih salah satu,” katanya.

Zamri turut memuat naik imej teks “sebut Vel Vel tak la sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield itu pernah jadi penyebab nyawa Adib hilang.”

Kenyataan itu merujuk kepada kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, yang bertugas di luar kuil Sri Maha Mariamman.

Siasatan gagal menemukan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib.

Inkues yang dijalankan kemudian mendapati kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua hingga tiga individu yang tidak dikenali.

Untuk rekod pada 19 Mac 2022 pula perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakon, mengumumkan kerajaan memberikan ex gratia (pampasan) sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga Adib.

Mengulas lanjut, Gunaraj menyeru Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, supaya mengambil tindakan segera terhadap Zamri termasuk mengikut Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

"Kita tidak boleh membiarkan individu tertentu menghasut kebencian serta menyemarakkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Keamanan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama, dan setiap tindakan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat harus ditangani dengan tegas," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS