Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah keluar perintah beku ke atas akaun bank putera Saudi
Diterbitkan:  Mar 6, 2025 12:32 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Mahkamah jenayah Malaysia hari ini mengeluarkan perintah pembekuan terhadap seorang putera Arab Saudi dan bekas penasihat media Najib Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perintah sekatan terhadap lebih AS$4.5 juta yang didakwa dalam akaun bank Putera Faisal Turki Bandar Al-Saud di Riyadh, Arab Saudi.

Hakim K Muniandy turut membenarkan permohonan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat untuk membekukan 12 juta saham Paul Geoffrey Stadlen yang dipegang dalam sebuah syarikat pengurusan aset di United Kingdom (UK).

Menerusi permohonan yang difailkan semalam, kerajaan mendakwa wang dalam akaun Riyadh itu adalah daripada dana kekayaan negara Malaysia yang bermasalah 1MDB.

Pentadbiran Malaysia juga mendakwa saham UK dibeli menggunakan lebih AS$100 juta yang diselewengkan daripada tiga projek infrastruktur utama negara ini, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk.

Ketika ditemui media selepas prosiding mahkamah terbuka, Mahadi berkata Peguam Negara kini akan bergantung kepada Bantuan Perundangan Bersama (MLA) untuk menyampaikan perintah mahkamah kepada rakan sejawatannya di Arab Saudi dan UK.

Bagi hubungan antarabangsa, terpulang kepada negara sasaran sama ada mereka mahu mematuhi perintah pembekuan Malaysia ataupun tidak.

Putera Faisal adalah antara beberapa individu Arab Saudi yang didakwa menjadi penyumbang derma kepada Najib, yang bergantung kepada pembelaan ini dalam perbicaraan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion yang sedang berlangsung.

Pada November 2018, adalah dilaporkan bahawa SPRM sedang mencari Stadlen untuk memudahkan siasatan terhadap skandal 1MDB dan bahawa dia telah meninggalkan Malaysia sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun yang sama.

Paul Geoffrey Stadlen

Pasukan peguam Stadlen sebelum ini mendakwa bahawa dia "terperangkap dalam tindak balas politik terhadap Najib" selepas pihak pendakwaan mendaftarkan kes dan memperoleh waran tangkap untuk lelaki British itu atas dakwaan pengubahan wang haram membabitkan RM15 juta.

Stadlen adalah penasihat media Najib semasa dia menjadi perdana menteri.

Dia didakwa tanpa menghadirkan diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Feb 2019.

Bagaimanapun pada 2021, Stadlen mencapai penyelesaian dengan SPRM untuk melepaskan semula secara rela hati RM7.1 juta kepada 1MDB.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS