Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, menetapkan tarikh debat dengan Zamri Vinoth pada 23 Mac ini berikutan kenyataan kontroversi pendakwah bebas itu yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata debat tersebut akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Tamil Malaysia.
"Saya mengambil maklum bahawa kamu telah menerima cabaran debat ini. Topiknya adalah mudah, kamu sebelum ini mendakwa bahawa 'Hindu yang mengangkat kavadi sebut Vel Vel sambil menari seperti dirasuk dan dalam keadaan mabuk todi'. Mungkin kamu tidak ada pengetahuan dalam bab ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Saravanan menambah Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di Kuala Lumpur untuk acara debat tersebut.
"Saya menantikan pengesahan daripada kamu. Pada masa yang sama, 'pelik' apabila kamu menerima cabaran debat tetapi tutup ruangan komen di Facebook," katanya.

Semalam, sebagai respons kepada cabaran Saravanan, Zamri berkata: "Orang menjual, kita membeli."
Saravanan mengeluarkan cabaran debat berkenaan melalui video, di mana dia turut menggesa pihak berkuasa untuk menangkap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menyifatkan Zamri sebagai "tidak berakal," Saravanan menggesa parti politik, pengurusan kuil, pertubuhan agama, NGO, dan individu untuk membuat laporan polis terhadapnya.
"Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian perdana menteri dan menteri dalam negeri.
"Menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) memberitahu saya hari ini beliau telah mengarahkan polis untuk melakukan siasatan," kata ahli parlimen Tapah itu semalam.
Saravanan menegaskan kegagalan untuk menangkap dan menahan Zamri di bawah Sosma boleh mengakibatkan kerajaan kehilangan sokongan masyarakat Hindu di Malaysia.
Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer, turut mengecam kenyataan Zamri, dengan Rayer telah membuat laporan polis terhadapnya.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, semalam menggesa tindakan tegas diambil terhadap Zamri dan beberapa individu lain yang melakukan penghinaan terhadap agama.
