Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung hantaran pendakwah bebas, Zamri Vinoth di media sosial yang didakwa bersifat menghina dan provokatif terhadap penganut agama Hindu dan perayaan Thaipusam.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Rayer berkata lebih 48 jam telah berlalu, namun tiada tindakan diambil untuk memadamkannya.
"Saya telah menyemak di Facebook dan dimaklumkan bahawa hantaran Zamri Vinoth yang sangat provokatif dan menghina ini masih kekal di laman beliau serta boleh diakses oleh orang ramai.
"Mengapa pihak berkuasa, polis, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih belum menyekat atau memadam hantaran tu sehingga kini?" soal pemimpin DAP itu.
Rayer menegaskan kenyataan Zamri bukan sahaja menghina amalan agama Hindu tetapi juga berisiko menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Ini kerana katanya, Zamri mengaitkan laungan "Vel Vel" semasa Thaipusam dengan kematian anggota bomba Adib Kassim pada 2018, yang mengalami kecederaan parah ketika rusuhan di luar kuil Hindu Seafield di Subang Jaya.
Ahli Parlimen DAP itu turut mengesahkan laporan polis telah dibuat terhadap Zamri.
Dia menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan ketegangan kaum, selain mengingatkan kenyataan bersifat menghasut seperti itu boleh mengancam keselamatan dan keharmonian negara.
Dalam hantaran di media sosialnya, Zamri mendakwa ramai orang Hindu sendiri menganggap sebutan vel vel sambil menari-nari adalah seperti ‘orang kena rasuk sambil mabuk todi’ tetapi ia tidak dianggap menghina,
“Apa yang korang buat itulah yang orang lain nampak dan ikut tapi bila orang ikut apa yang korang sendiri buat aik tetiba marah pula? Kalau marah lain kali jangan buat perkara yang menjadi contoh ikutan orang ! Kalau nak buat juga jangan marah. So pilih salah satu,” katanya.

Pendakwah itu juga memuat naik imej dengan kapsyen yang menyatakan sebutan "Vel Vel" tidak menyebabkan kehilangan nyawa, merujuk kepada kes kematian Adib Kassim semasa rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya pada 2018.
Sebutan "Vel Vel" merupakan panggilan kepada Dewa Murugan dan sering dilucapkan semasa Thaipusam, terutamanya ketika seseorang membawa kavadi.
Kenyataan Zamri dibuat sebagai reaksi terhadap insiden membabitkan tiga penyampai radio Era FM, yang sedang disiasat berhubung satu video TikTok memaparkan seorang penyampai menari manakala seorang lagi melaungkan "Vel Vel".
Ketiga-tiga penyampai tersebut telah memohon maaf dan turut digantung tugas sementara menunggu siasatan polis dan MCMC.
