Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami ada peranan, tapi bukan bertindak ke atas kes 3R, kata Aaron
Diterbitkan:  Mar 7, 2025 1:21 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

Beberapa kes terbaru 3R yang merujuk kepada raja, agama dan kaum sekali meletakkan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dalam perhatian ramai dan memaksanya tampil menjelaskan bahawa kementeriannya tidak ada kuasa untuk bertindak atau menghukum individu yang mencetuskan isu tersebut.

Aaron menerusi hantaran di X berkata bahawa sejak beberapa hari lalu, kementeriannya telah berulang kali disoal berhubung dakwaan kononnya kurangnya tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif 3R.

Sebaliknya, Aaron menjelaskan bahawa kuasa penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan bukan kementerian perpaduan.

“Kementerian dan agensi di atas adalah bertanggungjawab dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan isu 3R.

“Saya berharap agar tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan oleh agensi di atas,” katanya.

Aaron kemudiannya mengetengahkan beberapa pendekatan reformatif atau pembaharuan serta intervensi yang dilakukan oleh kementeriannya untuk menangani isu berkaitan 3R.

Antaranya, pemantauan isu melalui sistem e-Sepakat dan disalurkan kepada agensi berkaitan serta menggunakan papan pemuka analitik perpaduan yang membolehkan mengenalpasti kawasan panas untuk diberikan fokus melalui program intervensi.

Sistem e-Sepakat merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan sebagai mekanisme gerak kerja pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu itu secara digital.

Tambah Aaron, kementerian juga turut perkhidmatan mediasi melalui 571 mediator komuniti dalam bantu meredakan konflik, yang beroperasi di atas platform bukan litigasi.

Terdapat juga jawatankuasa pengurusan isu perpaduan yang terdiri daripada 12 kementerian dan agensi yang membolehkan langkah susulan diambil dengan segera.

Bulan lalu, Aaron mempertahankan keperluan dirinya untuk terus memegang jawatan di sebalik kritikan orang ramai terhadap keberkesanan kementeriannya.

Ini susulan gesaan seorang ahli akademik, James Chin agar kementeriannya dimansuhkan atas dakwaan prestasi yang lesu dan longlai dalam memperkukuhkan perpaduan negara.

Baru-baru ini, tiga juruhebah stesen radio Era FM mencetuskan kontroversi apabila didakwa mempersendakan ritual kavadi ketika sambutan Thaipusam.

Susulan itu ketiga-tiga juruhebah terbabit disiasat polis dan sudah digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan berhubung video berkenaan.

Pada 5 Mac, Aaron meminta tindakan tegas diambil terhadap beberapa individu, termasuk pendakwah kontroversi Zamri Vinoth, kerana menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi dan mempersendakan agama lain.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan turut mengingatkan bahawa Zamri Vinoth mempunyai rekod prestasi yang panjang dengan sering membuat kenyataan menghasut atas alasan dakwah agama, tetapi sebenarnya menyemai benih perbalahan di kalangan rakyat Malaysia melalui penyebaran naratif yang berbahaya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS