disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita di sebuah klinik di Pulau Tikus, di sini, dua tahun lepas.
Difahamkan, doktor terbabit ialah individu sama yang ditahan pada 26 Feb lepas kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wanita di tempat kerjanya dan mangsa berusia 30 tahun itu dikatakan membuat laporan selepas mendakwa suspek ialah doktor sama dalam kesnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata tangkapan terhadap doktor berusia 43 tahun itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada 9.15 malam susulan laporan oleh seorang wanita tempatan berhubung kelakuan tidak senonoh oleh doktor di sebuah klinik swasta yang berlaku pada 28 Jun 2023.
“Pengadu membuat laporan pada 10.16 malam, Selasa lepas dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 28 Jun 2023 kira-kira 6.30 petang. Pengadu ke klinik terbabit untuk mendapatkan laporan keputusan ujian darah.
“Pengadu mendakwa telah berjumpa dengan suspek yang ketika itu bertugas sebagai doktor di dalam bilik rawatan lalu diperdaya untuk membuka baju dan berlari setempat kononnya bagi tujuan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata dalam kejadian itu, suspek turut disyaki telah merakam gambar badan pengadu menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan kesihatan.
Berikutan itu katanya, tangkapan telah dibuat terhadap doktor terbabit dan dia direman selama empat hari bermula pada hari ini hingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital di sini kira-kira 9.30 malam pada 26 Feb lepas setelah menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung kejadian berkenaan dan telah direman, namun dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin pula dilaporkan berkata JKNPP akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung kes itu dan pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai perubatan terbabit.
- Bernama
