Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes papan pintar sekolah: SPRM sahkan tahan reman 2 orang
Diterbitkan:  Mar 7, 2025 8:44 PM
Dikemaskini: 12:44 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua individu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan rasuah dalam pembekalan papan pintar interaktif ke beberapa sekolah di Kuala Lumpur.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Zainul Darus dipetik Bernama memaklumkan penahanan dua individu tersebut, termasuk seorang pegawai khas kepada seorang Ahli Parlimen yang tidak dinamakan.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Laporan itu juga memetik sumber SPRM berkata siasatan awal menunjukkan kesalahan tersebut dipercayai dilakukan tahun lalu.

Reman 4 hari

Difahamkan dua individu tersebut—kedua-duanya lelaki dalam lingkungan usia 30-an—telah meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan untuk meluluskan dana Projek Mesra Rakyat berjumlah RM1.5 juta bagi pembekalan papan pintar interaktif.

Kedua-dua mereka dilaporkan ditahan sekitar jam 9.30 malam pada hari Rabu ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Mereka kemudian direman selama empat hari bermula semalam selepas perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Siasatan juga akan menumpukan kepada proses perolehan untuk memastikan sama ada sekolah-sekolah menerima jumlah barang yang betul dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” kata sumber itu.

Kenyataan Kok bercanggah laporan SPRM

Laporan Bernama ini berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, semalam.

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Kok mendedahkan SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum mereka meletakkan jawatan tahun lalu.

Menurut Kok, dia percaya siasatan SPRM berkaitan dengan pembelian papan pintar jenama LG pada harga yang didakwa melambung tinggi.

Kok turut menjelaskan pada akhir Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasannya telah digunakan bagi menyalurkan RM99,000 kepada setiap 16 sekolah untuk pembelian papan pintar dan TV pintar.

"Namun, saya tidak pernah meluluskan peruntukan dalam skala sebegitu.

"Siasatan lanjut mendapati bahawa syarikat yang mengeluarkan invois tersebut tidak wujud—ia adalah entiti palsu.

"Selain itu, satu syarikat pengedar bekalan elektrik rasmi LG mengesahkan bahawa kos sebenar bagi tiga smartboard dan tiga smart TV sepatutnya berjumlah RM55,299, dan bukan RM99,000.

"Ini menyebabkan perbezaan sebanyak RM43,701 bagi setiap sekolah dan RM699,216 untuk semua 16 sekolah," katanya

Kok menegaskan semula kenyataannya semalam bahawa dia tidak mempunyai pengaruh ke atas SPRM.

Katanya, dia mahupun kakitangannya tidak pernah membuat laporan kepada suruhanjaya itu.

Kenyataan ini dibuat di tengah-tengah dakwaan yang tersebar di media sosial bahawa Kok menggunakan SPRM untuk mempengaruhi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang akan datang.

Malaysiakini difahamkan salah seorang yang direman itu calon dalam pemilihan tersebut.

Sebaliknya, Kok menjelaskan dia telah membangkitkan isu tersebut di Kamar Khas Parlimen dengan menyoal arahan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengenai pembelian papan pintar itu.

Katanya lagi, dia telah membuat siasatan sendiri dengan membincangkan ketidaktentuan dalam pembelian tersebut bersama beberapa pegawai kerajaan.

"Saya tetap komited untuk bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan keadilan ditegakkan.

"Saya sentiasa berpegang teguh kepada moto DAP yang komited dalam memperjuangkan tadbir urus yang baik, integriti, dan keadilan sosial untuk semua rakyat, begitu juga bila saya membangkitkan isu berkaitan pembelian smartboard untuk sekolah yang melibatkan dana awam," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS