Pusat Membanteras Rasuah & Kronisme (C4 Center) membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan mewajibkan pemberi maklumat tidak terlibat melakukan kesalahan sebagai prasyarat untuk diberi perlindungan di bawah undang-undang.
Ini berikutan pembentangan rang undang-undang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (APPM) kelmarin, yang merangkumi penambahan perkataan "sengaja" dalam Seksyen 11(1)(a).
Pindaan ini, jika diluluskan oleh Parlimen, akan memberi kuasa kepada ejen penguat kuasa untuk membatalkan perlindungan bagi pemberi maklumat yang "sengaja mengambil bahagian dalam kelakuan tidak wajar" yang mereka dedahkan.
Dalam satu kenyataan, C4 Center berkata peruntukan sedemikian akan mendedahkan pemberi maklumat kepada risiko kehilangan perlindungan mereka secara automatik, dan mereka juga tidak mempunyai cara untuk mempertikaikan keputusan ejen penguat kuasa.
"Bagaimana pemberi maklumat boleh mempertikaikan perkara ini? Adakah memadai bagi pemberi maklumat mengemukakan bukti kepada ejen penguat kuasa? Bagaimana jika bukti sedemikian tidak tersedia?
"Selain mencabar pembatalan perlindungan mereka di mahkamah - yang akan mendedahkan pemberi maklumat kepada risiko - apakah mekanisme yang ada untuk pemberi maklumat membuktikan penglibatan mereka tanpa disengajakan? Pindaan itu tidak menyentuh tentang hal ini.
"Walau apa pun, perlu diingatkan bahawa mewajibkan pemberi maklumat mempunyai 'tangan bersih' sebagai prasyarat untuk semua pemberi maklumat adalah sangat menyekat dan merupakan jangkaan yang tidak realistik," kata kumpulan itu.
Mengulas lanjut, C4 Center berkata meski pemberi maklumat yang dilihat terlibat melakukan tindakan tidak wajar mungkin tidak diberikan skop perlindungan penuh di bawah undang-undang, mereka masih perlu diberi insentif untuk tampil ke hadapan supaya isu rasuah yang lebih besar dapat ditangani.
Ia memberi contoh skandal rasuah Sabah baru-baru ini, yang menyaksikan pemberi rasuah mendedahkan penglibatan Adun Sabah dalam dakwaan rasuah.
"Walaupun ini belum membawa kepada sebarang pertuduhan lagi, ia telah menjelaskan skala besar rasuah di kalangan ahli politik di negeri itu," kata kenyataan itu.
Pada Khamis, Rang Undang-undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Antara lain, rang undang-undang itu juga bertujuan untuk menubuhkan Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat yang pengerusi dan ahlinya akan dilantik oleh kerajaan.
