Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu digesa naikkan kadar perwakilan wanita dalam DUN
Diterbitkan:  Mar 8, 2025 10:27 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Dua organisasi yang memperjuangkan hak wanita menggesa kerajaan Terengganu menaikkan bilangan perwakilan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 3.1 peratus kepada 13.9 peratus

Sempena Hari Wanita Sedunia, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) dan Bait Al Amanah menggesa kerajaan negeri menambah baik Perkara 27(2) Perlembagaan Negeri, yang telah dipinda pada 2003.

Kumpulan tersebut mencadangkan kerajaan negeri memperuntukkan empat kerusi lantikan di bawah Perkara 27(2) sebagai kerusi tambahan khusus untuk wanita sahaja, walaupun terdapat seorang atau lebih Adun wanita dipilih dalam pilihan raya.

"Agihkan empat kerusi lantikan ini kepada parti berdasarkan peratusan undi yang diperoleh dalam pilihan raya negeri lepas melalui kaedah Perwakilan Berkadar Senarai Parti (Party-List Proportional Representation). Langkah ini mampu memperkukuhkan komitmen PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap perwakilan pelbagai parti.

"Berdasarkan keputusan pilihan raya negeri 2023, ini bermakna tiga kerusi diperuntukkan kepada PN dan satu kepada Barisan Nasional," kata kumpulan tersebut.

Pada tahun 2003, di bawah kepimpinan Menteri Besar Abdul Hadi Awang, Terengganu memperkenalkan Perkara 27(2) bagi membolehkan pelantikan sehingga empat Adun wanita atau bukan Islam jika tiada calon dari kumpulan tersebut yang menang dalam pilihan raya.

Pada tahun 2018, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar melantik Zuraidah Md Noor sebagai ADUN wanita pertama yang dilantik menerusi Perkara 27(2). Pelantikan itu menamatkan tempoh 44 tahun DUN Terengganu tanpa sebarang perwakilan wanita sejak 1974.

"Hasil kebijaksanaan dua pentadbiran negeri pada 2003 dan 2018, YB Hajah Zuraidah Md Noor berjaya membuktikan keupayaannya sehingga memenangi kerusi N15 Ladang dalam PRN 2023. Kemenangan beliau menjadi detik penting yang meningkatkan perwakilan wanita kepada 3.1 peratus.

“Namun, perwakilan wanita di DUN Terengganu masih kekal pada tahap 3.1 peratus. Empat lagi kerusi ADUN wanita boleh dilantik untuk meningkatkan peratusan ini daripada 3.1 peratus (1/32) kepada 13.9 peratus (5/36).

"Walau bagaimanapun, berdasarkan Perkara 27(2) sedia ada, kesemua empat kerusi tersebut hanya boleh diberikan kepada calon bukan Islam, sedangkan pengundi bukan Islam hanya sekitar 2% daripada jumlah pengundi di Terengganu," kata kumpulan-kumpulan tersebut.

Mereka berkata cadangan itu akan menjamin perwakilan bukan Islam dan belia dalam empat kerusi ini dengan menetapkan syarat agar parti mencalonkan sekurang-kurangnya seorang calon bukan Islam dan seorang calon belia dalam dua kedudukan teratas dalam senarai masing-masing


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS