Catatan Facebook Zamri Vinoth yang membandingkan pembawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk telah dikeluarkan dari platform media sosial itu selepas empat hari dimuat naik.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer berkata dia mendapati hantaran tersebut tidak lagi boleh diakses pagi ini, selepas 150 laporan polis terhadap Zamri selain aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Facebook.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada MCMC, polis dan kerajaan kerana mengambil tindakan sewajarnya untuk memadamkan hantaran Zamri yang sangat fitnah dan menghasut ini," katanya di Facebook.
Tambah Rayer, mengalih keluar dan menyekat hantaran itu adalah penting dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian negara ketika ini kerana sesuatu hantaran di media sosial boleh menegangkan keadaan dengan pantas.
“Sebagai ahli parlimen, saya mesti meminta MCMC, polis, dan kerajaan berwaspada serta sangat tegas memadamkan hantaran di media sosial jika bersifat menghina dan tidak menghormati raja-raja, mana-mana kaum, dan mana-mana agama, sama ada wujud laporan polis atau tidak,” katanya.
Malaysiakini difahamkan MCMC memberikan reaksi kepada beberapa aduan individu dan menandakan hantaran Zamri untuk Facebook membuat keputusan.
Zamri sebelum ini mengulas insiden melibatkan tiga juruhebah radio Era FM yang disiasat apabila seorang daripada mereka menari manakala seorang lagi melaungkan “vel vel”.
Zamri turut memuat naik imej dengan kapsyen berbunyi “vel vel” tidak membawa kepada kehilangan nyawa seperti yang berlaku kepada anggota bomba Adib Kassim, yang maut semasa rusuhan di luar kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.
Mengulas lanjut, Rayer berkata walaupun hantaran tersebut itu sudah diturunkan, dia masih percaya Zamri mesti disoal siasat polis dan seterusnya didakwa di mahkamah.
“Sama ada perdebatan antara Zamri dan (Presiden MIC) M Saravanan diteruskan atau tidak, tidak begitu penting.
“Zamri mesti berdepan dengan undang-undang dahulu,” tegasnya.
