Pemimpin veteran PKR Hassan Abdul Karim sekali lagi menegaskan dia tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai ahli Parlimen Pasir Gudang dalam PRU ke-16.
Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Pasir Gudang hari ini, Hassan, 74, turut mengesahkan dia tidak akan bertanding dalam pemilihan parti yang akan datang.
“Saya telah membuat pengumuman secara terbuka di halayak umum bahawa saya tidak bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.
“Tetapi bukan itu sahaja. Dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan (hari ini), saya mengulangi lagi pengumuman sebelum ini bahawa saya tidak akan bertanding dalam PRU ke-16 akan datang.
“Mengapa saya mengambil keputusan ini? Jawapannya mudah, iaitu kerana umur saya sudah lanjut dan saya ingin membuka ruang dan peluang kepada pemimpin lain yang lebih muda untuk mengambil alih,” kata Hassan.
Kerusi Parlimen Pasir Gudang diwujudkan pada tahun 2004 dan dipegang BN sehingga 2018, selepas Hassan menewaskan penyandang ketika itu, Khaled Nordin.
Dalam PRU15, Hassan mempertahankan kerusinya dalam pertandingan empat penjuru menentang PN, BN dan Gerakan Tanah Air.
Kecewa
Mengulas mengenai pemilihan PKR, Hassan berkata pemilihan di peringkat bahagian masih “demokratik” dengan sistem “satu anggota, satu undi”, namun proses bagi pemilihan kepimpinan pusat telah diubah.
“Saya berasa berduka cita dan kecewa sistem pemilihan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat PKR termasuk pemilihan presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden telah dipinda kepada pemilihan secara undi perwakilan.
“Tetapi apa yang boleh dibuat kerana kongres khas telah membuat keputusannya.
“Sebagai anggota parti, saya akur terhadap keputusan itu dan tidak mahu melanjutkannya lagi sehingga disebut pula sebagai ‘rumah siap pahat berbunyi’,” katanya lagi.
Hassan berkata dia membangkitkan perkara itu dalam ucapannya sebagai rekod yang dia tidak bersetuju dengannya.
Dalam ucapannya, Hassan turut mengulas peranan PKR sebagai tunjang kerajaan persekutuan yang diterajui oleh presiden Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, dalam kerjasama dengan sekutu yang “tercemar”.
“Saya melihat imej PKR sebagai sebuah parti politik yang ingin membawa agenda reformasi dan perubahan yang bermakna di Malaysia terhambat kerana terpaksa bersekutu dengan parti politik yang tercemar dengan banyak rekod rasuah dan salah guna kuasa.
“Jadi adalah satu cabaran kepada pemimpin parti dan seluruh anggota PKR di seluruh negara untuk menentukan arah perjuangannya dalam menghadapi PRU yang akan datang,” katanya lagi.
Sebagai ahli parlimen kerajaan, Hassan telah beberapa kali, sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat, menyuarakan pendiriannya yang ada kala bercanggah dengan pendirian parti atau kerajaan, termasuk mengenai isu-isu sensitif yang menyentuh bangsa, agama atau institusi diraja.
