Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembunuhan di Batang Kali: Keluarga terus tuntut permohonan maaf UK
Diterbitkan:  Mar 10, 2025 10:20 AM
Dikemaskini: 2:20 AM

Lebih 70 tahun telah berlalu sejak pembunuhan 24 penoreh getah oleh askar British di Batang Kali tetapi permintaan maaf masih belum dikeluarkan kerajaan UK.

Portal dalam talian FMT melaporkan bahawa peguam Britain bekerjasama dengan ahli politik Malaysia dan ratusan yang lain di Kuala Lumpur malam tadi untuk menandakan ulang tahun ke-76 pembunuhan beramai-ramai di Batang Kali.

John Halford, peguamcara keluarga mangsa yang berpangkalan di UK, berkata adalah "betul secara moral" bagi UK untuk mengeluarkan permohonan maaf kerana banyak kerajaan telah mengakui kekejaman masa lalu mereka walaupun tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk berbuat demikian.

"Kadang-kadang, tuntutan moral boleh lebih kuat daripada undang-undang," kata Halford yang memetik permohonan maaf 2010 oleh Perdana Menteri UK David Cameron berhubung pembunuhan beramai-ramai Bloody Sunday pada 1972 di Ireland.

Sementara itu, peguam Malaysia Quek Ngee Meng yang mewakili jawatankuasa bertindak mengenai pembunuhan beramai-ramai Batang Kali - yang ditubuhkan pada awal 2000-an - berkata kerajaan British telah menerima memorandum terbaru yang menggesa pengakuan pembunuhan beramai-ramai itu dan permohonan maaf secara rasmi.

Quek juga berkata Pejabat Luar, Komanwel & Pembangunan telah menjanjikan "tindak balas substantif" menjelang bulan ini.

Secara berasingan, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menggesa kerajaan UK untuk menyahklasifikasi dan mengeluarkan semua rekod sejarah berkaitan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk kampung Cina yang dituduh melindungi pemberontak komunis.

Dia juga menggesa kerajaan Malaysia memastikan pembunuhan beramai-ramai itu adalah sebahagian daripada sukatan pelajaran sejarah negara untuk mendidik generasi akan datang tentang realiti pemerintahan penjajah.

Menurut FMT, turut hadir ialah veteran DAP Tan Kok Wai yang berkata permohonan maaf rasmi daripada kerajaan Britain akan membantu ahli keluarga yang terjejas untuk meneruskan kehidupan dari masa lalu yang traumatik.

Pada 11 Dis 1948 tentera dari Platun Ketujuh Pengawal Scots memasuki ladang getah Sungai Rimoh di Batang Kali, Selangor.

Mereka menjalankan operasi menentang pemberontak komunis semasa Darurat yang diisytiharkan oleh kerajaan kolonial British berikutan pembunuhan tiga peladang warga Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948.

Pada 4 September 2012, mahkamah mengekalkan keputusan kerajaan British untuk tidak mengadakan perbicaraan awam berhubung pembunuhan itu tetapi memutuskan bahawa kerajaan British harus bertanggungjawab terhadap pembunuhan yang menyalahi undang-undang di Batang Kali.

Pada 20 Mac 2014, Mahkamah Rayuan UK memutuskan bahawa kerajaan British adalah dan kekal bertanggungjawab secara sah untuk pembunuhan beramai-ramai itu, dan keputusan itu telah dikekalkan oleh mahkamah agung setahun kemudian.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan supaya siasatan awam diadakan.

Cabaran undang-undang berikutnya tidak berjaya, dengan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah memutuskan pada 2018 bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS