Dr Mahathir Mohamad mendakwa dia sukar untuk mempercayai kata-kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak akan menjejaskan nasib orang Melayu di bandar.
Kata Mahathir, jika isu tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur pun gagal diselesaikan oleh kerajaan, bagaimana Anwar ingin memberi jaminan nasib orang Melayu tetap dibela.
Menurut Mahathir, perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, mahukan agar setiap bandar di Malaysia dipenuhi oleh semua kaum dan bukan didominasi oleh ras tertentu saja.
Melalui URA itu nanti, dakwa bekas perdana menteri terbabit, cuma orang yang kaya dan peniaga sahaja mampu tinggal di kawasan bandar, sedangkan Melayu tidak dapat dipastikan keberadaannya.
"Orang ini (Anwar) selalu cakap bohong. Buka mulut saja bohong, macam-macam sudah dia buat, janji itu janji ini, satu pun tak buat.
"Kita bagi (lulus) saja (URA), dapat undang-undang dia balas," katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Sidang media itu diadakan bersama sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru yang membantah pengambilan tanah oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut.
Sebelum ini, Anwar memberi jaminan penggubalan URA tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir mana-mana pemilik harta asal, tanpa mengira etnik.
Dia menegaskan, tidak akan ada peruntukan di bawah akta berkenaan yang membenarkan pengusiran pemilik harta bandar.
“Tidak timbul sama sekali pemilik asal tanah - tanpa mengira kaum - akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan, malah status tanah asal kekal sama ada rizab Melayu atau status kekal tidak akan berubah.
“Kerajaan akan memastikam setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang diberikan,” katanya di Dewan Rakyat.
Menurut Mahathir jika Rang Undang-undang (RUU) URA itu diluluskan dan akta tersebut berkuat kuasa, orang Melayu di Malaysia akan menerima nasib sama seperti Melayu di Singapura.
Di Singapura dakwa Mahathir, kampung Melayu sudah tiada lagi selepas diambil oleh pemaju dan petempatan mereka pula dipecahkan supaya mereka tidak dapat bersatu.
"Orang Melayu yang dulu duduk (tinggal menetap) di kampung Melayu diagih-agihkan supaya mereka tidak boleh bersama. Letak dua orang (Melayu) di kampung itu, dua orang di flat lain, jadi mereka sekarang ini tak ada kumpulan tak ada pemimpin pun.
"Inilah yang akan berlaku di Malaysia jika jadikan Singapura sebagai contoh," katanya lagi.
Jelasnya meskipun pembaharuan perlu dilakukan, namun jangan sesekali meminggirkan penduduk asalnya.
Tambahnya, ketika dia menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 dulu, segala projek di Kampung Sungai Baru yang menjadi polemik dibekukan, malah dia mendakwa turut meminta ganti rugi munasabah untuk tanah berkenaan diambil.
"Saya minta supaya ganti rugi munasabah, jumlah satu kaki persegi dijual (pada) harga RM3,000. Kalau (pemaju) beli RM3,000 kaki persegi, mampulah mereka beli rumah mewah kalau didirikan," katanya lagi.
