Sebuah video baru berkaitan skandal Sabah muncul dengan kandungannya memaparkan perbincangan melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kadzim Yahya.
Usahawan yang mengeluarkan video tersebut — kesembilan sejak Nov tahun lalu — mendakwa bahawa dia memberi rasuah kepada beberapa Adun Sabah sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral.
Pembocor maklumat itu juga mendakwa Kadzim menggunakan kedudukannya untuk meminta projek daripada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Namun, speaker tersebut menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai "pembohongan".
"Saya dengan tegas menafikan dakwaan tidak berasas ini. Ia adalah pembohongan yang nyata bertujuan untuk mencemarkan reputasi saya. Saya tidak pernah menggunakan kedudukan saya untuk meminta atau menerima sebarang projek.
"Saya memberi amaran keras terhadap penyebaran kenyataan fitnah dan palsu ini.
"Sekiranya ada mana-mana pihak menerbitkan atau menyebarkan dakwaan sedemikian tanpa asas yang sah, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi integriti saya," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej teks.
Video tersebut — yang dirakam pada 16 Nov tahun lalu di Kota Kinabalu — memaparkan perbincangan mengenai dakwaan pertukaran wang bagi dua projek serta penglibatan anak Kadzim dalam salah satu syarikat.
Pada satu ketika, Kadzim menawarkan untuk memulangkan RM350,000 tetapi usahawan tersebut — yang suaranya telah diubah dan wajahnya tidak kelihatan — menolaknya.
"Tidak, tidak, saya tidak meminta wang itu dipulangkan. Jangan salah faham… saya hanya mahu mengesahkan, itu sahaja," jawab usahawan tersebut.
Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, usahawan terbabit mendakwa dia menyerahkan RM350,000 kepada Kadzim dalam tiga bayaran secara berasingan:
Bayaran pertama: RM200,000 didakwa dibayar pada 22 Mac 2023, kira-kira jam 4 petang di Sutera Harbour Marina & Country Club, Kota Kinabalu.
Bayaran kedua: RM100,000 didakwa bertukar tangan pada 27 Mei 2023, sekitar jam 9 malam di Chynna Restaurant, Hilton KL Sentral, Kuala Lumpur.
Bayaran ketiga: RM50,000 didakwa diberikan pada jam 10.30 pagi 31 Mei 2024, di Dome Restaurant, Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Usahawan tersebut mendakwa RM300,000 itu diberikan untuk permohonan pajakan tanah bagi perlombongan pasir silika seluas 1,550 hektar di Pulau Balambangan, Daerah Kudat; manakala RM50,000 untuk permohonan lesen meninjau mineral arang batu, emas, dan tembaga di kawasan seluas 13,000 hektar di Hutan Simpan Apua, Sungai Pinangah, Daerah Tongod.
‘Tuntut RM3 juta, 50 peratus saham’
Dia juga mendakwa Kadzim “menuntut” RM3 juta dan “saham percuma 50 peratus” dalam syarikat yang mengemukakan permohonan untuk projek perlombongan pasir silika.
"Pada mulanya, saya tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut. Namun, Kadzim mendesak bahawa tanpa pengaruh dan sokongannya, saya tidak akan dapat walau sekecil mana projek ini diluluskan untuk syarikat saya.
"Untuk mendapatkan projek ini, saya tiada pilihan selain mematuhi tuntutannya, dan saya meminta agar saham percuma itu dikurangkan kepada 49 peratus," dakwanya.
"Dari Mac hingga Mei 2023, saya terpaksa membayar 10 peratus daripada RM3 juta — atau RM300,000 — kepada Kadzim untuk memproses permohonan ini," tambahnya.
Usahawan tersebut mendakwa Kadzim memberitahunya bahawa dua projek yang disebutkan di atas adalah "bayaran balik" kerana dia telah beberapa kali "menyelamatkan kedudukan Ketua Menteri Hajiji" semasa sidang DUN Sabah.
Usahawan tersebut mendakwa Kadzim telah mengemukakan surat permohonan daripada syarikat berkaitan bertarikh 14 Nov 2022 kepada ketua menteri.
Dia mendakwa bahawa surat berkenaan disertakan dengan nota (minit) bertajuk “semak dan ringkaskan” yang ditujukan kepada Setiausaha Hasil Bumi (SUHB).
"Sebuah surat iringan dari Pejabat Ketua Menteri Sabah dengan nombor rujukan . JKM(S).100-24/31 bertarikh 2 Dis 2022 juga disediakan kepada SUHB seperti yang dilampirkan," dakwa usahawan tersebut.
Dia mendakwa Kadzim menerima 49 peratus saham syarikat tersebut secara percuma untuk projek perlombongan pasir silika dan menamakan anaknya sebagai pengarah dan pemegang saham.
Usahawan berkenaan juga memberitahu Malaysiakini bahawa dia memiliki semua dokumen untuk membuktikan dakwaannya terhadap speaker tersebut.

Lesen penerokaan perlombongan dibatalkan
Menurut usahawan tersebut lagi, kawasan pasir silika yang dipohon itu akhirnya diluluskan untuk syarikat lain.
"Kadzim mencadangkan agar RM300,000 yang diambil berkaitan dengan projek ini digantikan dengan projek lain," dakwanya.
"Berikutan kegagalan projek perlombongan pasir silika, saya telah mengemukakan permohonan baru untuk lesen perlombongan bagi mencari arang batu, emas, dan tembaga di Daerah Tongod.
"Saya memaklumkan Kadzim bahawa lesen perlombongan itu hanya untuk kajian mengenai kewujudan mineral di kawasan itu, dan saya tidak dapat membayar baki RM2.7 juta untuk projek berkenaan," jelasnya.
Selepas perbincangan, Kadzim didakwa menerima RM1 juta, dengan usahawan tersebut bersetuju agar RM300,000 yang telah dibayar sebelum itu dianggap sebahagian daripada sebagai jumlah penuh, meninggalkan baki yang perlu dijelaskan hanya RM700,000.
Usahawan tersebut mendakwa Kadzim mengemukakan surat permohonan daripada syarikat lain bertarikh 29 April 2024 kepada ketua menteri.
"Ini disertakan dengan nota (minit) yang menyatakan ‘sila semak, tiada halangan jika teratur’ yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM)," dakwanya.
Usahawan itu mendakwa kelulusan bagi lesen penerokaan yang dikeluarkan pada Jun 2024 telah dibatalkan tanpa sebarang justifikasi pada 25 Sept.
Reaksi Pejabat Hajiji
Menjawab pertanyaan Malaysiakini, pejabat Hajiji menghantar maklum balas rasmi yang menyatakan bahawa ketua menteri tidak akan mengulas dan memberi amaran kepada portal berita mengenai injunksi ad-interim berkaitan saman sivil yang difailkan oleh SMM.
Hajiji mendakwa bahawa pembocor maklumat tersebut sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melemahkan pentadbirannya dengan melepaskan video-video tersebut.
Dia juga menyarankan bahawa usahawan terbabit mungkin terlibat dalam kartel yang berusaha untuk memonopoli perlombongan di Sabah dan menggunakan cara-cara penipuan untuk mencapai objektif tersebut.
Usahawan tersebut sebelum ini mencabar ketua menteri dan Adun berkaitan untuk menyamannya atas dakwaan fitnah atau membuat laporan polis mengenai video-video tersebut.
Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri
