Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rayer seru teruskan lapor polis terhadap Zamri
Diterbitkan:  Mar 11, 2025 10:56 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Ahli parlimen DAP RSN Rayer mengulangi gesaannya untuk tindakan tegas diambil terhadap pendakwah Zamri Vinoth yang menyamakan pembawa Kavadi semasa perayaan Thaipusam Hindu dengan individu yang kerasukan dan mabuk.

Sambil menggesa rakyat Malaysia mengekalkan tekanan terhadap isu itu, Ahli Parlimen Jelutong menyeru orang ramai untuk terus membuat laporan polis di seluruh negara.

Merujuk tindakan yang diambil dalam kes KK Mart, Rayer berkata: "Saya menggesa peguam negara dan polis bertindak segera dan mengenakan pertuduhan jenayah terhadap deejay Era FM dan Zamri tanpa sebarang penangguhan lagi untuk menunjukkan bahawa tiada pilih kasih dalam semua kes hina agama seperti yang dijamin oleh perdana menteri."

Catatan Facebook Zamri dibuat selepas kontroversi video yang memaparkan tiga hos radio Era FM yang seolah-olah mempersendakan upacara Thaipusam kavadi.

Ketiga-tiga mereka - yang sejak itu sudah meminta maaf - telah digantung tugas, dan polis melancarkan siasatan ke atas kejadian berkenaan.

Rayer berkata, peguam negara dan polis mesti bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dalam mempertahankan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap warganegara untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihannya bebas daripada sebarang campur tangan dan penghinaan.

“Zamri terus menghina, memperlekehkan dan mempersendakan Thaipusam, perayaan agama Hindu yang sangat dihormati,” tambahnya.

Ahli parlimen itu berkata walaupun ratusan laporan polis dibuat terhadap Zamri, pendakwah itu "cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama" dengan menyebut anggota bomba Adib Kassim yang meninggal dunia semasa rusuhan di luar kuil Hindu pada 2018.

“Untuk rekod, ini bukan kali pertama ratusan laporan polis dibuat terhadap Zamri.

“Dalam kejadian baru-baru ini walaupun telah dipanggil oleh polis untuk mengambil keterangannya dan catatan Facebooknya dialih keluar buat sementara waktu, Zamri dengan beraninya menyiarkan semula komen Facebooknya dan pergi lebih jauh untuk memberi alasan terhadap tindakannya mempersendakan Thaipusam.

“Zamri tetap tidak insaf, tidak menyesal dan terus melanggar undang-undang negara ini sehingga menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat Malaysia,” tambahnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Menteri Digital Gobind Singh Deo turut menggesa pendakwah itu ditahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS