Paling Popular
Terkini
story images
story images

Timbalan Presiden MIC M Saravanan tidak jadi meneruskan debat berkaitan agama dengan penceramah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Saravanan menegaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang, Presiden MIC Vigneswaran Sanasee, pihak polis dan pemimpin lain kerajaan yang tidak dinamakan.

“...(justeru) saya telah memutuskan debat ini tak diteruskan demi keharmonian dan perpaduan negara,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Terdahulu menteri perpaduan Negara berharap debat agama khususnya antara Saravanan dan Zamri tidak diteruskan bagi mengelakkan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara agama.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Saravanan menetapkan 23 Mac untuk berdebat dengan Zamri berikutan kenyataan yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam seperti orang dirasuk atau mabuk.

Komen itu dibuat rentetan daripada insiden penyampai radio dari Era FM yang didakwa menghina Hindu dengan menari dan membuat kelakar sambil melaungkan “vel, vel”.

Mereka yang telah memohon maaf digantung tugas manakala siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berjalan.

Susulan itu Zamri memuat naik status berbunyu “sebut vel vel tidak lah sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield itu pernah jadi penyebab nyawa Adib hilang.”

Kenyataan itu merujuk kepada anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, yang maut ketika rusuhan di luar kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.

Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu

Sementara itu, Saravanan yang juga anggota Parlimen Tapah tetap menuntut pihak berkuasa bertindak terhadap Zamri.

“Saya cukup arif dan sensitif mengenai isu agama di negara ini saya tak ada hak untuk pertahankan agama saya apabila ada orang membuat tuduhan liar terhadap agama saya.

“Pada masa yang sama saya juga minta kerajaan dan PDRM ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, tak kira bangsa dan agama sekiranya mereka menyentuh agama lain dan kita perlu ambil tindakan tegas.

“Kita lihat laporan polis terhadap Zamri Vinoth, bertahun-tahun (dibuat tetapi) tiada tindakan,” katanya.

Saravanan berkata dia juga berharap mana-mana pihak khususnya masyarakat beragama Hindu tidak mengambil tindakan sendiri dalam hal ini.

 “Tapi buatlah laporan polis supaya pihak polis ambil tindakan tegas terhadap Zamri Vinoth.

“Saya percaya pihak berkuasa ambil tindakan tegas supaya perkara ini tak berterusan. Ini bukan julung kali. Kami sebagai ahli politik bertindak sebab kita lihat tidak ada sebarang tindakan.

“Jika saya perlu buat, saya akan buat laporan polis dan saya minta pemimpin masyarakat jangan keluarkan apa-apa kenyataan kecuali buat laporan polis supaya kerajaan sedar sejauh mana masyarakat India begitu sedih melihat keadaan seperti ini,” katanya.

‘Mahu didik Zamri’

Sementara itu, Saravanan turut menegaskan bahawa kesediaannya untuk berdebat dengan Zamri Vinoth sebelum ini tidak ada kaitan dengan agama masing-masing.

Sebaliknya kata Saravanan ia hanyalah bertujuan mendidik penceramah bebas itu.

“Ramai yang salah tafsir dengan debat ini dan saya nak betulkan di sini. Sebenarnya debat ini bukanlah di antara saya dan agama lain. Tidak berkaitan sama sekali.

“Ini bukan antara saya dengan agama lain tetapi antara saya dengan seorang belia yang membuat tuduhan liar terhadap agama Hindu.

“Debat itu sepatutnya mendidik beliau, mungkin beliau daripada latar belakang yang melibatkan ajaran sesat dalam agama sendiri.

“Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk membetulkannya melalui debat dan tidak sentuh pun agama lain,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS